RED DOOR PART 5: CUMA MIMPI

 Seusai solat Maghrib, aku mula keluar dari bilikku. Aku teringat wajah Suhaimi petang tadi. Dia nampak gembira sangat sambil menjinjit dua buah beg plastik yang nampak berisi. Bila aku tanya kenapa, dia kata tunggulah sampai dia mesej nanti. Hm, kejutan ya?

'Turunlah. Saya dah buat makan malam kita.'

 Aku membaca mesejnya yang disertai dengan emoji mata berbentuk hati. Aku hanya tersenyum kecil sahaja seraya menutup bilikku. Bila aku tutup telefon, entah bagaimana, mataku tertumpu pada pintu merah itu. Hanya pintu itu sahaja yang berwarna merah gelap. Pintu lain semuanya mempunyai warna perang muda. Tak pula Suhaimi nak kata apa-apa. 

 Aku menarik nafas panjang. Buat apa nak tahu lebih lagi? Bukankah Suhaimi sudah beritahu yang dalam bilik itu cuma ada barang-barang lama ibu bapanya?

"Suhaimi, awak ada dekat mana?" Laungku sebaik sahaja turun dari anak tangga yang terakhir. Aku dapat menghidu bau masakkannya tetapi ianya berlegar-legar di mana-mana sahaja.

"Di sebelah kiri awak. Saya ada dekat ruang makan." Laung Suhaimi pula.

 Apabila aku berjalan merentasi ruang kiri rumah, aku ternampak sebuah meja makan yang berlapikkan kain berwarna putih. Terdapat enam kerusi pada meja itu dan aku ternampak Suhaimi berdiri di sebelah kerusi yang paling hujung daripadaku.

 Ketika aku berjalan kearahnya, aku baru perasan lantai ruang makan ini ternyata diperbuat daripada batu marmar. Terdapat sebuah tingkap yang besar, menghadap meja makan yang panjang ini. 

 Aku sempat menjeling disebalik tingkap yang besar sehingga ke lantai batu marmar itu. Disebalik langsir emas itu, bulan sabit berada di atas langit. Nampak jelas tanpa sebarang awan.

 Lampu chandelier yang berada di atas siling menyinari ruang makan, menampakkan ukiran kolonial pada dinding rumah tersebut. Terdapat beberapa buah potret pemandangan di jalan raya yang menghiasi ruang makan itu. Sekali lagi, aku terpegun dengan dekorasi rumah ini. Terasa seperti berada di luar negara dengan zaman yang berbeza.

 "Wah, sedapnya." Kataku dengan nada yang teruja. Bau makanan itu adalah bau mee goreng banjir rupanya. Dia menarik kerusi untukku lalu aku duduk di atas kerusi yang mempunyai kusyen yang selesa. "Ini makanan kesukaan saya. Macam mana awak tahu?"

 Suhaimi tersenyum. "Selain daripada tom yam yang ayah awak buat, saya tahulah awak suka makan mee goreng banjir ini. Bukan kita kenal satu hari, tau. Hah, rasalah." Dia melihatku tanpa melakukan apa-apa lagi.

 "Baiklah, saya makan dahulu ya. Awak pun makanlah sekali." Kataku , tidak mampu menahan gembira di hati. Setelah membisikkan basmalah, aku memakan mee tersebut. Kuahnya juga aku hirup. Wah, rasanya sedap sangat. Ketika aku sedang menggulung mee kuning ini, aku ternampak udang, sotong dan fishcake. Oh, tengah menyorok ya.

 "Terima kasih sebab masakkan makanan kegemaran saya. Awak memang baik orangnya." Pujiku sementara melihat Suhaimi menghirup kuah mee tersebut.

 "Tak ada apa-apalah. Saya memang nak awak rasa selesa dekat rumah ini. Memanglah hanya kita berdua sahaja dekat rumah ini tapi, saya nak awak gembira dekat sini walau sebarang cabaran apa pun yang kita akan berdua tempuhi nanti." Kata-katanya itu kedengaran ikhlas menerusi telingaku.

  Aku teringat kali pertama aku bertemu dengannya di lapangan kapal terbang. Kenapalah aku curiga dengan dia dan fikir benda bukan-bukan? Ternyata Suhaimi memang baik orangnya.

 "Abang." Ayat sepatah daripadaku membuatkan Suhaimi menaik kening. "Saya minta maaf sebab fikir abang orang jahat waktu kali pertama jumpa dekat airport itu. Saya ingatkan abang nak ambil kesempatan dekat saya. Maafkan saya, ya." Aku masih berasa bersalah. Garfu dan sudu berhenti bergerak. Aku tunduk melihat alas meja.

 Aku dapat merasakan ada tangan yang menyentuh daguku lembut lalu mendongakkan sedikit wajahku. Mata Suhaimi dan mataku bertentang. Dia tersenyum nipis. "Awak tak patut kata macam itu." Kata-katanya membuatkan aku sedikit kehairanan. 

 "Sepatutnya, saya yang kena minta maaf dengan awak. Saya sebagai suami awak telah membenarkan awak pergi menaiki kapal terbang itu. Saya yang bayar tiket ke Australia itu. Saya tak ikut dengan awak atas urusan kerja. 

 "Saya menyesal apabila dapat tahu kapal terbang yang awak naik itu, hilang tanpa dikesan. Berhari-hari saya rasa menyesal. Saya rasa terkilan sangat sebab tak bersemuka dengan awak untuk kali terakhir. Malah rumah yang besar ini, rumah yang penuh dengan memori kita sejak kecil pun tak dapat menandingi rasa rindu saya kepada awak. Saya berdoa setiap hari, mengharapkan awak masih hidup lagi. Sekarang awak ada di sini, saya benar-benar ingin meminta maaf, Alisya. Awak maafkan saya, tak?"

 Dalam detik ini, aku terasa masa bergerak lambat. Air mata yang jatuh di pipi dibiarkan sahaja olehku. "Ya, saya maafkan awak. Marilah kita bina hidup kita yang baru." Kata-kataku membuatkan Suhaimi juga turut mengalirkan air mata. 

 Rupa-rupanya, dia telah menahan sebak dari tadi dan barulah air matanya tumpah. Berkali-kali dia meminta maaf sambil aku mengelap air matanya dengan tisu. Setelah itu, barulah kami berdua sambung semula makan dan berkongsi cerita jenaka. Ruang makan hanya dibingitkan dengan gema ketawa kami berdua sahaja.

 Dalam diam, aku mahu perkahwinan aku dan Suhaimi terus berkekalan. Aku mahu kami berdua hangat bercinta dan punyai anak, jika diberi rezeki. Aku mahu hidup aku terus bahagia. Aku mungkin tidak tahu seberapa banyak kenangan dahulu yang telah hilang antara aku dan Suhaimi tetapi aku tidak ambil peduli tentang perkara itu. Suhaimi pun turut sama.

 Aku mahu hidup untuk masa hadapan yang lebih baik dan dia juga begitu. Kami mahu memulakan kisah baru. Apakah boleh kisah kami tamat tanpa sebarang peluru?

***

 Deruan ombak menghentam kepalaku kasar. Aku tenggelam lagi dan kaki yang digigit kesejukkan ini sedaya upaya untuk menerapungkan diri. Dari jauh, aku ternampak cebisan kapal terbang yang teroleng-oleng. 

 Api yang menyemarak, menampakkan penumpang kapal terbang yang tenggelam dan timbul di atas laut.

"Tolong!"

"Tolong kami!"

 Tidak lama kemudian, sebuah letupan yang kuat Meletus menyebabkan semua orang menjerit ketakutan dalam kedinginan malam. Aku terkejut apabila sesuatu terawang dari udara lalu mendarat berhampiran denganku. Aku turut terjerit-jerit apabila kepala pramugari yang separuh hancur itu menghampiri tubuhku.

 Sekali lagi, ombak menghentam kepalaku dan aku tenggelam lagi. Naik sahaja ke permukaan laut, aku ternampak sebuah papan, mungkin dari sayap kapal terbang dan mencapai papan tersebut. Kuku yang sakit mencengkam papan ini tidaklah seteruk dari kehilangan nyawa di tengah laut yang berombak ganas ini.

 "Alisya, selamatkan aku." Sebuah suara yang tidak asing lagi dari pendengaranku membuatkan aku menoleh. Nabila? Dia masih hidup lagi?

 "Alisya, selamatkan aku. Kaki aku kejang. Alisya." Suara Nabila sayup-sayup kedengaran sambil ombak terus-menerus menghentam dirinya yang cuba merapatiku. Apa? Dia mahu memegang papan ini juga, ke? Aku memberikan sedikit ruang kepadanya namun tiba-tiba, papan itu tenggelam.

 Aku mencapai papan itu daripada hilang. Berombak dadaku dibuatnya apabila aku menjadi cemas dek kerana papan itu tiba-tiba sahaja tenggelam. "Nabila, kau tak boleh ambil papan ini. Kau kena cari yang lain."

"Alisya, kau kena selamatkan aku. Alisya."

 Dia merapati lagi tubuhnya. Entah kenapalah, aku sanggup menyepak kakinya yang kejang itu sehingga dia menjerit kesakitan. "Kau tak boleh dekat, Nabila. Kau kena cari papan yang lain." Aku menjerit bercakap ayat itu kepadanya.

 Sekali lagi, ombak menghentam dirinya membuatkan si ibu kembar yang kasihan itu tenggelam lagi dalam laut. "Nabila? Nabila? Kau hidup lagi, ke?" Jeritku sebaik sahaja bayang Nabila tidak lagi kelihatan. Aku sedikit terkesima. 

 Aku melaung lagi namanya namun masih lagi tak nampak dirinya timbul semula ke permukaan. Pada ketika itulah, satu perkara buruk mencucuk mindaku. Nabila sudah tiada. Dia sudah mati. Maafkan aku, Nabila. Bukan aku mahu kau jadi macam ini. Nabila, maafkan aku.

 Tiba-tiba, sebuah ombak yang besar naik ke udara dan seperti mahu menenggelamkan aku sehingga aku tidak boleh timbul lagi. Bersamanya, ialah Nabila dengan wajah yang menakutkan. 

 Mukanya tak ubah seperti mayat yang terurai. Kulitnya yang cerah menjadi gelap macam bangkai. Isi pipinya seperti dicarik-carik sehingga tergantung-gantung mengikuti rupa mulut separuh hancur yang terbuka luas.

 Ombak yang dahsyat itu menjunam ke bawah dan aku dihentam dengan kuat. Dalam air yang dingin itu, aku berusaha melepaskan diri daripada cengkaman Nabila yang ada pada leherku. Berhempas-pulas aku melepaskan diri. Dalam sesaat, aku sempat melihat dirinya tersenyum lebar sehingga mencapai telinganya, menampakkan gignya yang tajam.

"Kau bunuh aku, Alisya? Kau bunuh aku? Aku cuma minta tolong daripada kau!"

 Aku terbangun dari mimpi buruk itu. Seluruh badanku berpeluh walaupun penghawa dingin yang dipasang tadi sudah serasa sejuk sebelum tidur. Aku melemparkan selimutku ke bawah. Nafasku turun-naik macam aku baru melepasi acara larian.

 Pintu yang terbuka kecil itu dipandang olehku namun ianya tertutup sendiri. Suhaimi ke yang ada dekat luar itu? Aku mahu keluar dari katil tetapi pemandanganku menjadi kabur dan kepalaku berpusing. Sukar untuk aku melihat sama ada yang ada di hadapanku sekarang ini manusia ataupun...



Comments