RED DOOR: Prolog

Labah-labah itu bukan besar namun ianya berbulu. Kakinya tak panjang tapi hujung kakinya boleh memedihkan kulit. 

 Wanita itu berlari daripada sesarang labah-labah yang mengejarnya. Bunyi 'his!' dari kaki-kaki serangga itu mencucuk telinganya. Entah bagaimana dia boleh tersadung dan terjatuh, mencederakan dahinya. 

 Dia berdiri lagi, meninggalkan seseorang yang terbaring. Seseorang yang telah menyebabkan kakinya tersadung tadi.

 Bunyi hembusan nafas Alisya kedengaran berat. Dengan kaki yang kurus itu, dia semakin tidak terdaya lagi untuk bergerak. Akhirnya dia ternampak kesan retak pada dinding. Cahaya yang menular dari celah retak, memberi sedikit terang pada bilik yang tidak tahu berapa saiznya.

 Ketika tangannya mahu menyentuh dinding yang retak kecil itu, matanya seakan ternampak retak tersebut bergerak tinggi ke siling. Dia cuba menyentuh retak itu dengan melompat tetapi tidak berguna. 

 Tanpa sedar, satu per satu labah-labah telah mencapai kakinya yang menampakkan isi daging. Bulu labah-labah itu menyedarkan wanita tersebut tentang kengerian yang bakal menimpa dirinya.

 Wanita itu menjadi panik. Nafasnya pendek-pendek. Labah-labah bersaiz kerengga itu memasuki telinganya, matanya, dan ke dalam salur hidungnya. 

 "Tolong! Tolong!" Jerit mulutnya yang hampir tak nampak kerana ditutupi oleh sesarang labah-labah.

"Alisya! Alisya!"

 Dia merasakan dunianya bergoncang kuat. Matanya boleh melihat sesuatu. Nampak seperti bersinar terang. Tangannya cuba menahan silau."Alisya, bangun!"

 Akhirnya, dia ternampak seorang wanita berambut perang, berwajah cina. Mata wanita yang sepet itu menyedarkan Alisya mengenai sesuatu. Nama wanita yang ada di hadapannya sekarang ialah Ng Lee, berusia 27 tahun iaitu empat tahun lebih muda daripadanya.

 Wanita itu kehilangan suami akibat kapal terbang yang dinaikinya terhempas, menyebabkan suaminya terbunuh. Bagaimana dia boleh tahu tentang perkara ini dengan terperinci?

 Jawapannya, Alisya juga adalah mangsa kapal terbang yang sama. Bezanya, dia terselamat daripada kecelakaan yang menimpa kebanyakan penumpang kapal terbang itu.

 Alisya memegang kepalanya. Fikirannya masih mengimbau mimpi yang aneh itu. Entah bagaimana mimpi ngeri itu boleh muncul pun, dia sudah lupa. Mungkin kali pertama mimpi itu hadir, adalah hari pertama kapal terbang yang dinaiki, terhempas di pulau ini. 

 Pulau yang tak pasti di mana lokasinya. Pulau yang tak pernah dijejak oleh sesiapa. "Kau okey?" Tanya perempuan itu dengan pelat Cinanya. Alisya memberi isyarat bagus. "Jom makan. Semua orang sudah berkumpul." Alisya hanya mampu tersenyum nipis mendengar  ajakannya.

 Ng Lee memusingkan tuil yang menggerakkan roda diperbuat dari kayu dan tangga jatuh ke bawah, mencecah tanah. Setelah mereka berdua turun dari pondok itu, Ng Lee melepaskan tali dan tangga itu naik semula ke atas.

 Mereka berdua segera mengikuti sekumpulan orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan bahasa. Tak banyak yang terselamat, hanya 15 orang daripada 100 orang penumpang dan krew kapal terbang yang masih hidup.

 Alisya mendengar seorang lelaki bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Rusia pekat. Mujurlah dia dapat memahami bahasa Inggeris yang dituturkan; sikit-sikit sajalah kalau tidak, satu pun dia tak faham. Lelaki itu kemudiannya menunjukkan kepada mereka semua bahawa makanan sudah siap dan mereka boleh berbaris untuk mengambil makanan.

 Setelah mengambil makanan, Alisya dan Ng Lee mengambil tempat di bawah pokok. Hari pertama duduk di rumput basah memang tidak selesa buat Aliya tapi lama kelamaan, alah bisa tegal biasa.

"Kau buat apa hari ni?" Tanya Ng Lee, tak mahu suasana kekok antara mereka berdua.

 "Bawa bekal air sungai." Jawab Alisya dengan bersahaja. Baru beberapa minit berlalu, dia berbunyi lagi, "Eh, ingat tak dengan siapa aku kena buat sekali?" Ng Lee mengangkat bahu sambil menyambung makan.

"Hi Alisya, how are you today?" Seorang lelaki menegurnya.

"Feels the same like yesterday" Jawab Aliya dengan cebikan.

 Lelaki itu mengambil tempat tidak jauh daripada mereka berdua. "Are you still having the same nightmare?" Alisya mengangguk.

"Do you still have your medicine?"

 Alisya mengangkut bahu. "Apparently, it's not for a long time though. We better get rescue for some way or another."

 "Well, I'm glad you still around. Not dead yet, aren't you?" Kata lelaki itu dengan kekekan yang meluat bagi Ng Lee.

"Simon, don't say something morbid like that." Ng Lee memberi ayat tegas.

 "It's okay, Lee. I know he is just joking." Alisya bersuara tenang. "Anyway, thanks for your concern, Simon. How's your day?"

 "Well, I'm feeling sad for a little. " Simon berhenti berkata. "Do you know how many days since the airplane crash?" Pertanyaannya dibalas oleh Ng Lee.

"Two years and a half, I guess?" Jawapannya dianggukkan oleh Simon.

 "I miss my family. I wonder what do they do now." Ujar Simon dengan wajah yang sedih. Alisya mahu membalas kata-katanya namun siulan daripada wanita yang lain seperti memanggil dirinya. Sudah tiba masa untuk lakukan tugasnya ke?

 Apabila Alisya mendapati wanita itu, dia dapat melihat raut wajahnya seperti dalam kesusahan. "Why? What's wrong, Jane?"

 Wanita itu memberitahu bahawa kakinya terseliuh jadi dia tidak dapat melakukan tugasnya untuk membawa bekalan air sungai. Tahulah Alisya bahawa Jane mahu dia memberitahu kepada Viktor yang merupakan ketua dalam pasukan membawa bekalan air bersih ke perkampungan kecil mereka.

 Baru sahaja Alisya dan Jane mahu menemui Viktor, mereka mendapati beberapa orang sedang berkumpul. Tidak pasti apa yang dibincangkan, Alisya bertanya kepada Ng Lee. "Kenapa ini? Ada apa-apa ke?" Ng Lee memandangnya dengan air mata yang mengalir.

 "Tadi Luca bawa berita gembira." Alisya mengerutkan dahi. Oh, doktor Itali itu. Ng Lee menyambung setelah mengesat air mata. "Katanya, dia baru menemui kapal besar semasa perjalanannya di laut menggunakan rakit yang kita buat beberapa hari yang lepas."

Alisya beriak teruja. "Jadi, mana kapal itu?"

 "Mereka sudah berlabuh di pantai sekarang. Kita boleh balik. Kita boleh balik." Ng Lee berasa amat gembira dan mereka berdua berpelukkan bersama-sama. "Aku boleh jumpa anak aku. Terima kasih, Tuhan." Ujar Ng Lee lagi dengan sedu tangisnya yang masih bersisa.

 Alisya juga turut berasa gembira kerana dia dapat menemui keluarganya semula. Dia teringat akan adiknya, Zahirah yang bersikap ceria. Puan Baizura dan Encik Kamarul, ibu bapanya. Ibunya jenis yang tegas dan tidak mudah menunjukkan kasih sayang. Kalau manja-manja sikit, mesti dikatanya buang tabiat. 

 Bapanya pula seorang yang kurang bercakap tetapi baik dengan anak-anaknya. Semua yang diminta oleh dirinya dan Zahirah pasti akan ditunaikan.

 Dia teringat pula tentang adik lelakinya yang baru sahaja berkahwin dengan pasangan hidupnya. Rasanya seperti baru minggu lepas adiknya berkahwin kemudian dia bersama Nabila pergi naik kapal terbang untuk pergi ke Australia. Entah bagaimana, kapal terbang yang dinaiki, boleh terhempas pula di pulau yang tidak tahu di mana lokasinya.

Nabila.

 Dalam semua orang yang terselamat sedang bersorak gembira, Alisya menarik wajah yang sedikit muram. Kawannya yang ceria itu sudah meninggal. Mayatnya tidak dijumpai kerana kapal terbang yang sama itu sebenarnya terhempas dalam laut. 

 Dalam keheningan malam yang dingin itu, suasana hiruk-pikuk kerana masing-masing berhempas pulas menyelamatkan nyawa masing-masing. Alisya sedikit kesal kerana tidak membantu Nabila. 

 Kawannya di mana ketika itu? Bukankah dia berada di hadapannya? Menggigil kesejukkan meminta pertolongan sementara Alisya memegang papan yang merupakan cebisan badan kapal terbang. Apa yang dia buat ketika itu?

 Ng Lee mencuit bahunya. Alisya menoleh kearah wajah Ng yang tersenyum riang. Dia tidak mahu memikirkan malam penyesalannya itu. Dia tidak mahu memikirkan tentang Nabila. Apa yang dia tahu, Nabila sudah tiada dan tak mungkin akan kembali. 

 Jika keluarga Nabila bertanya tentang Nabila kepadanya, akan dia beritahu bahawa Nabila tidak dijumpai olehnya. Nabila mungkin sudah lemas dalam laut yang dingin beku.



Comments