RED DOOR PART 1: SIAPA SUHAIMI?
Ketika saat penumpang MH-455 kembali pulang ke pangkuan orang yang tersayang, mataku melilau-lilau seperti anak kambing yang hilang arah. Aku menjadi khuatir apabila wajah yang tidak dikenali terus ada pada layar mata sehinggalah aku merasakan ada seseorang menepukku dari belakang.
"Kakak!" Seorang perempuan muda memelukku dengan erat. Ini Zahirah ke? Aku seperti dapat merasai bahuku basah dengan air matanya.
Pada masa yang sama, aku turut melihat ibu dan ayah datang kepadaku dengan tangan yang mendepa luas. Ibu mengusap kepalaku perlahan. Mata tua itu mungkin tidak menyangka aku benar-benar ada di hadapannya. Ternyata harapanku melihat ibu sebelum nyawa ditarik, menjadi kenyataan.
"Ke mana kamu pergi, nak?" Lirih suara ibu bertanyakan soalan yang didengari jelas olehku. Dalam pelukan, aku menjadi sebak. Air mata pada pelupuk matanya seperti tidak tertahan-tahan lagi.
Dua tahun lebih berada di pulau itu terasa begitu lama bila difikirkan sekarang. Hidup hanya semata-mata boleh berdoa, minta diselamatkan. Meredah bahaya alam yang tidak diketahui sifatnya di pulau itu. Semuanya yang dilakukan olehku ternyata tidak sia-sia.
Dalam syahdu keluargaku menyambut kepulanganku, mataku tertancap kearah satu figura yang tidak jauh daripada mereka berempat. Bukan aku tidak menyedari kehadiran lelaki asing itu tetapi setelah beberapa lama lelaki itu memandang kearah kami anak-beranak, aku mula tidak sedap hati.
"Siapa lelaki itu, dik? Asyik pandang kita saja?" Bisikkan aku dipandang aneh oleh Zahirah. Terpandang-pandang Zahirah, mencari rupa lelaki mana yang dikatakan olehku. Akhirnya, aku menuding jari juga kearah lelaki tersebut.
"Itu suami kakaklah. Takkan tak kenal." Ayah yang bersuara selamba ternyata mengejutkanku. Lelaki itu semakin mendekati diriku. Tangannya seperti mendepa mahu memeluk aku, mungkin kerana mahu melepas rindu tapi, benarkah itu suamiku?
"Stop!" Tanganku terus menghentikan langkah lelaki itu. Aku menjeling kearah wajah keluargaku yang penuh kehairanan dengan sikapku.
"Maaf, kau siapa? Kita pernah jumpa ke sebelum ini?" Kata-kataku menaikkan kening lelaki tersebut. Dia menurunkan tangannya. Dalam saat itu juga, ibuku, Puan Baizura, menepuk dahinya. Agaknya, ibu pasti menilai sikapku yang mungkin nampak kurang ajar kepada suami sendiri.
"Sayang tak kenal saya ke? Ini suami awaklah, Suhaimi."
Suhaimi? Siapa Suhaimi? Nama itu seperti asing bagiku. Aku bingung. Siapa lelaki ini sebenarnya? Wajahnya seperti tidak pernah dilihat olehku sebelum ini. Akhirnya, aku hanya mampu terdiam. Sesaat berlalu telah menyebabkan situasi menjadi janggal.
"Err, mesti kakak sudah lama ada dekat kapal terbang itukan? Kakak nak makan apa?" Zahirah pantas membuka mulut, mengelakkan keadaan semakin sunyi. "Nasi ayam tomato? Laksa Penang atau Mee Hailam?"
Aku hanya mampu tersenyum mendengar nama makanan itu. "Tom yam." Suaraku yang perlahan menyebabkan Zahirah bertanya lagi makanan mana yang mahu dipilih. Aku menahan air mata daripada keluar. Fikiranku mengingati makanan yang sudah lama diidamkan. Aku sudah menelan liur, mengingati masakan yang menjadi kegemaranku. "Tom yam yang ayah selalu buat."
"Kalau macam, apa lagi yang kita tercegat dekat sini?" Wajah ayah mengukirkan senyuman. "Aku kena bersiap untuk masakkan tom yam itu."
"Jom kita balik rumah sekarang!" Zahirah menjulang tanganku tinggi ke udara dengan senyuman yang girang. Hampir terkejut aku dengan perlakuannya itu tetapi apabila mengenangkan adik bongsuku ini memang seorang yang happy-go lucky, perlahan-lahan aku membiasakan diri.
Dalam perjalanan menuju kearah pintu keluar airport, aku seperti merasakan diriku ditenung oleh lelaki yang dikatakan sebagai suamiku. Aku memegang erat lengan Zahirah. Sepertinya lelaki itu ada niat buruk terhadapku tetapi aku terfikir sejenak.
Aku bukannya ada apa-apa pun untuk lelaki itu pergunakan. Aku ini cuma orang biasa yang duduk bersama ahli keluarganya yang berpendapatan sederhana. Aku menarik nafas panjang. Cepat-cepat aku membuang idea yang kurang enak tentang lelaki itu. Mungkin aku saja yang paranoid.
"Ayah, saya ambil kereta sekejap." Lelaki itu bercakap kepada bapaku.
"Hah, pergilah."
Sebaik sahaja lelaki itu pergi, ibu dahulu mula bersuara. "Alisya, kenapa kamu cakap macam itu kepada suami kamu?"
Belum sempat aku mahu menjawab, Zahirah menambah lagi pertanyaan. "Entahnya pun. Macam tak pernah kenal sebelum ini. Apa yang berlaku, kak?" Bahuku hanya mampu terjongket, tanda tidak tahu.
"Hmm, nanti kita pergi check dekat hospital. Entah-entah, kau lupa ingatan agaknya." Kata-kata ayah dipersetujui oleh Zahirah. Aku nampak ibu menunjukkan riak bimbang. Ibu pun risaukan tentang aku sedangkan aku tak rasa pun ianya perkara yang teruk sehingga perlu pergi ke hospital.
"Kalau macam itu, hari ini jugalah kita pergi hospital." Ibu bersuara lagi. "Entah apa sahaja bahaya yang kamu lalui dekat pulau yang terceruk dekat mana entah itu."
"Esok sajalah, ibu." Pinta aku. "Tadi pun sudah buat medical check-up kalau ada bawa sebarang penyakit. Tak ada apa-apa pun." Aku memandang tepat kearah anak mata ibu. "Lagipun, kakak penat lagilah daripada penerbangan itu." Mujurlah, ibu beralah sahaja.
Perbualan kami berempat terus mati sebaik sahaja kereta yang dibawa Suhaimi tiba di hadapan kami. Ketika muzik rancak merentasi hawa pendengaranku, suasana di kereta diriuhkan dengan perbualan antara Suhaimi dan ayah.
Aku mengamati gerak-geri mereka dalam diam. Ternyata ayah seorang yang ringan mulut bercakap dengan lelaki itu. Ayah memang jenis yang tak suka banyak cakap dengan orang tapi bila borak dengan orang yang dikenal rapat, memang tak habis selagi masa masih ada.
Ibu pula sedang bercakap di telefon. Tak pasti pula apa topiknya tapi dengar suara si pemanggil tergelak terkekeh-kekeh sedangkan ibu berwajah ketat. Aku memang akui, ibu seorang yang sukar untuk tersenyum. Macam menunggu kucing bertanduk untuk melihat wajah ibu berubah jernih. Tanpa sedar, adikku mencubit perlahan pahaku.
"Termenung apa itu?" Soal Zahirah dengan senyuman yang meleret. "Tengah fikir tentang suami akak, ke? Ialah, kan sudah lama tak berjumpa. Manalah tahu mahu melepaskan rindu nanti." Bahunya dilaga-lagakan dengan bahuku. Walaupun bisiknya perlahan tetapi sudah cukup jelas pada telingaku.
"Hisy, tak ada kerja akak buat macam itu." Aku berbisik seraya mencuit pahanya pula. Wajah Zahirah menyeringai sakit. Alamak, terlebih cubitlah pula.
Aku hanya mampu tersengih sementara adikku menjuihkan bibir ke hadapan. Aku yang berpuas hati membalas cubitan Zahirah, bersuara lagi, "Macam mana akak boleh kahwin dengan Suhaimi itu?" Soalanku dijawab dengan cebikkan Zahirah.
"Manalah tahu." Jawab Zahirah sambil mengusap tempat yang sakit. "Kalau nak tahu, pergilah tanya dekat suami akak sana."
"Macam itu pula jawabnya." Aku memuncungkan mulut. Entah bagaimana, mataku bertentang dengan mata Suhaimi pada cermin pandang belakang. Buat sejenak, pipiku terasa bahang walaupun jari-jemari ini digigit sejuk oleh penghawa dingin. Lantas pandanganku dilemparkan ke luar tingkap. Kenapalah Zahirah cakap benda macam itu? Buat aku fikir benda pelik-pelik saja.
Aku turut mencuri pandangan memerhatikan Suhaimi dari cermin yang sama. Nampaknya, dia mengukirkan senyuman. Nampak seperti mahu menahan ketawa. Apa yang lucunya? Aku rasa meluat pula. Ayah yang ternampak geligat kecil kami, terus bersuara, "Hai, ada apa-apa ke antara kamu berdua ini?"
"Ulat bulu dah naik daun." Kata-kata Zahirah disambut dengan gelak tawa ayah. Aku mencubit lagi paha Zahirah. Tak habis-habis mulut itu! Memang betul-betul nak malukan diri aku depan lelaki itu ke apa?
"Sudah, jangan diusik kakak kau itu." Jawab ayah menghabiskan gelak tawanya. Entah kenapa dia begitu galak sangat membuka mulut hari ini. Mungkin kerana masih gembira dengan kepulangan aku yang telah dua tahun lebih tidak dijumpai.
Comments
Post a Comment