RED DOOR PART 6: BERJUMPA DENGAN JIRAN
Aku tersentak sedikit apabila mendengar bunyi petikan jari di hadapan mataku. Cepat-cepat aku mendongak. Ah, Suhaimi rupanya. "Kenapa dengan awak? Macam tak lena saja tidur?" Ujarnya lalu mengambil tempat duduk di sebelahku.
Dia mencapai sudu yang aku gunakan untuk menyapu jem pada roti. Aku meneguk sedikit air teh. Bau strawberi menyenangkan fikiranku yang sesak dengan mimpi buruk malam tadi.
"Tak ada apa-apalah. Cuma, tak biasa duduk dekat rumah sini." Jawabku dengan berhati-hati. Aku tak mahu dia bimbang dengan perkara sebenar yang berlaku semalam.
Cukuplah layanan dia yang baik itu selama aku bersamanya selepas pulang dari pulau. Bukankah dia ada masalah dia sendiri? Biarlah aku menyelesaikan masalah aku seorang.
Wajahnya nampak tegang. "Sayang tipukan? Saya tak sukalah dengan orang yang tak jujur dengan diri sendiri hanya semata-mata nak jaga hati orang lain." Sapuan pada roti itu juga terhenti.
Nampak macam dia mengharapkan aku berkata benar walaupun aku tak suka menyusahkan orang lain. Dia menambah lagi, "Kalau awak ada dengan saya, awak kenalah cakap jujur. Barulah saya tahu apa yang saya kena buat untuk awak. Kalau tak, lagi mudah kita akan berjauhan."
Aku mengetap gigiku. Kalau tak cakap nanti mesti Suhaimi akan paksa juga tapi kalau cakap juga, mesti Suhaimi kata aku ini macam paranoid. Bila aku pandang wajah Suhaimi, dia melepaskan nafas dengan lembut lalu tersenyum nipis kepadaku.
"Kalau awak tak sedia lagi nak cakap tentang masalah awak, saya takkan paksa lagi. Saya cuma nak pastikan awak kurang stres di kampung ini. Itu juga satu punca kenapa saya bawa awak ke sini. Kalau dekat rumah mak ayah awak itukan, dekat bandar. Nanti mudah stres pula awak dekat situ. Lagi banyak stres, lagi susahlah awak nak ingat tentang saya, kan?"
Dia menghulurkan roti jem yang dibuatnya kepadaku. Roti jem yang kedua dimakan olehnya dengan perlahan-lahan. "Terima kasih." Ujarku sambil tersenyum. Baru sahaja dia mengambil gigitan yang kedua, aku bersuara lagi, "Sebenarnya, malam tadi saya ada mimpi ngeri."
"Mimpi apa?" Suhaimi pantas memotong kata-kataku. Baru beberapa saat keadaan sunyi, dia bersuara lagi, "Maaf. Sambunglah balik." Aku hanya tersengih sahaja kepadanya kerana aku tak mahu memberitahu mimpiku dengan terperinci kepadanya.
Ialah, takkan nak beritahu, 'Oh hey, saya ada mimpi kawan baik saya, Nabila mati di laut kerana lemas. Saya yang bunuh dia sebab tak benarkan dia memaut cebisan pintu kapal terbang yang hanya cukup-cukup untuk saya seorang saja. Dia jadi hantu dan cekik saya sehingga saya terbangun.' Macam itu ke? Memang taklah, kan. Kan?
Aku menyambung lagi kisahku. "Selepas itu, saya terbangun dan ternampak ada sesuatu di bucu katil. Tengah berdiri. Saya tak tahulah pula siapa, sebab saya terus tidur balik." Aku mengambil pula roti yang lain dan sapu lagi jem. "Jadi, itu awak ke?"
Lelaki itu tidak berkelip mendengar suaraku. "Hah?" Dia bersuara. Eh, Suhaimi ini. Dia mengelamun ke apa? Dia tidak bersuara untuk sejenak lalu barulah dia membuka mulutnya semula. "Oh, ya. Itu sayalah. Saya risau sebab awak menjerit semalam kata, 'Jangan bunuh aku. Jangan bunuh aku.' Bila saya sampai ke bilik awak, awak tidur kembali. Tak sampai hati nak kejutkan awak, saya pun baliklah semula ke bilik saya, sambung tidur."
Aku mengangguk-angguk mendengar penjelasannya itu. Jadi, betullah aku nampak Suhaimi semalam. Aku tersengih lagi. "Oh, awak rupanya. Ingatkan hantu tadi. Buat takut saya saja pagi-pagi ini."
"Hantu?" Soalnya sepatah.
"Ialah. Dah, berdiri saja dekat hujung katil saya. Dahlah senyap je. Ingatkan hantu tadi. Tapikan, kalau awak nak datang ke bilik saya, atleast cakaplah sedikit. Nanti saya ingat itu bukan awak." Kataku ceria. Aku memandang lagi wajahnya selepas meneguk air teh namun dahinya nampak macam berkerut.
"Macam mana pula boleh keluar?" Bisiknya perlahan namun aku masih boleh mendengar kata-katanya itu dengan jelas.
"Keluar? Siapa yang keluar? Apa yang keluar?" Tanyaku tanpa henti.
Dia menoleh memandang wajahku lalu mengukirkan senyuman. "Ah, tak ada apa-apalah. Saya teringat pula ada musang masuk rumah beberapa bulan yang lepas."
"Macam mana pula ada musang masuk rumah ini? Dah halau ke?" Tanyaku dengan soalan bodoh. Aku tahu dia tipu aku. Ialah, takkan tanya tentang hantu selepas itu, tiba-tiba teringat tentang musang pula? Macam ada sesuatu yang dia sorokkan daripadaku.
"Dah." Katanya ringkas. Tiba-tiba, dia membelek jam tangannya. "Eh, dah lambat. Nanti habislah pekerja saya marah nanti sebab kedai belum buka lagi. Oh, awak nak ikut sekali tengok kedai jam saya tak?" Aku menggeleng sambil mengekalkan senyuman pada wajahku.
Suhaimi mengambil kunci kereta saganya lalu menuju ke halaman rumah. Ketika aku menyambut salam tangannya itu, dia bersuara lagi, "Sebelum saya terlupa, dekat belakang rumah ini saya ada tanam buah naga. Saya tengok semalam dah masak buahnya. Pergilah petik."
Aku menarik wajah terkejut. "Macam mana awak boleh tahu buah kegemaran saya? Awak pun tahu teh mana yang saya paling suka."
Dia mencium dahiku. "Mestilah saya tahu. Awakkan permaisuri di hati saya." Dia membuka pintu keretanya lalu masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. "Saya pergi dahulu." Aku melambai kearahnya dengan hati yang girang. Macam-macam resepi yang aku nak buat dengan buah naga walaupun aku jenis yang kayu dan batu dekat dapur. Tapi, banyak ke buah naga yang dia tanam itu?
***
Aku mengelap peluh pada dahi. Matahari sudah naik tegak di atas langit. Panasnya. Sudah pukul berapa? Aku melihat jam tanganku. Sudah pukul 11 pagi? Cepatnya masa berlalu. Aku duduk di atas pangkin.
Topi straw yang dipakai, dicabut olehku lalu dikipas-kipaskan pada wajah. Mataku melirik melihat tiga bakul buah naga yang dipetik. Ini kalau masak macam-macam dengan buah naga ini, mesti masih ada lebih lagi. Siapa yang nak habiskan?
Mataku melihat pula beberapa batas tanaman yang diisi dengan anak-anak pokok buah naga yang lain. Apa Suhaimi tanam sendiri ke buah naga ini? Sayang betul dia dengan aku. Tapi, takkanlah dia tahu aku akan balik semula ke Malaysia dan kebetulan pula buah naga ini dah masak dan boleh dipetik? Hm, kebetulan saja agaknya.
"Tengah buat apa itu?" Aku mencari-cari suara asing yang menerobos gegendang telingaku. Siapa yang bersuara? Mataku terpandang seorang wanita yang berusia berdiri di sebalik pagar memagari kawasan rumah Suhaimi ini.
Lambat-lambat aku menghampirinya kerana masih rasa kepenatan. Dia ke yang memanggil itu? Apabila aku sampai di hadapan, dia bertanya kepadaku, "Kamu ini, macam saya pernah kenal."
Jiran Suhaimi agaknya. Aku memberi senyuman kepadanya. "Saya Alisya, isteri Suhaimi." Keningnya bertaut mendengar kata-kataku.
"Alisya? Isteri Suhaimi?" Dia berdiam lagi. Aku mengangguk kepala. Aku nampak wajahnya tiba-tiba berubah dengan riak yang tidak percaya dengan kata-kataku tadi. "Isteri Suhaimi yang naik kapal terbang selepas itu terhempas? Alisya yang itu ke?"
Aku mengangguk perlahan dan masih lagi mengekalkan senyuman. Sedangkan dalam akal ini, sudah macam aneh pula dengan kata-kata mak cik itu.
"Ya, ke? Kamu, masih ingat mak cik ke? Ini Mak Som." Katanya dengan senyuman yang girang. Belum sempat aku menjawab, dia bercakap lagi. "Marilah borak dekat rumah mak cik. Sini macam panas, kan?" Aku tersengih mendengar kata-katanya.
Kalau boleh, aku nak saja menolak pelawaannya itu dan mandi untuk hilangkan peluh dan daki yang melekat pada badan. Tapi, aku rasa seronok pula nak bercakap dengan mak cik ini. Hm, aku berfikir untuk sesaat sebelum bersetuju.
"Kejap lagi saya datang. Saya nak mandi dulu. Saya baru petik buah naga tadi. " Kataku dengan nada suara yang sopan. Mak cik ini pun mengangguk setuju.
Seusai sahaja aku masuk ke rumah, aku terus mandi. Untuk sesaat, aku mesej Suhaimi untuk pergi ke rumah jiran sebelah. Nak borak. Nasib baiklah dia setuju. Selepas aku sudah masukkan beberapa buah naga ke dalam plastik merah, aku terus ke rumah mak cik tersebut.
Halaman rumahnya bersih tanpa sebarang daun-daun kering. Ada pangkin di bawah pokok mangga itu. Apabila aku melihat rumahnya, ianya adalah rumah kayu yang bertiang tinggi . "Assalamualaikum." Laungku di hadapan tangga batu.
Aku memerhati sekejap tangganya itu. Tangga simen cat kelabu itu diserikan dengan beberapa batu berwarna biru gelap yang mempunyai pelbagai saiz. Nampak cantik betul.
"Waalaikumussalam, hah, masuklah." Ujar mak cik itu. Dia berada di hadapan pintu masuk rumah. Aku mencabut seliparku lalu menaiki anak tangga sehingga bertemu dengannya.
"Saya ada bawa buah naga sekali untuk mak cik. Sebagai buah tangan." Tersengih-sengih mak cik itu menerima hadiah daripadaku.
"Terima kasih, susah-susah saja bawakkan." Dia membawaku ke ruang tamu yang mempunyai beberapa buah sofa dan meja kopi di tengah-tengah. Terdapat dua biji gelas dan jag kecil yang nampak basah di luar permukaan kerana berlakunya proses kondensasi. "Jemputlah minum dulu. Mak cik pergi ke dapur kejap."
"Baik, Mak Som." Kataku dengan senang hati lalu duduk dengan perlahan-lahan di atas sofa yang empuk. Aku yang baru sedar tak minum apa-apa selepas memetik buah naga, terasa dahaga sangat. Sudah tuang gelas kedua pun, aku masih haus lagi.
Bila Mak Som sampai semula ke ruang tamu, dia tersengih melihat jag air itu sudah separuh dihabiskan olehku. Alamak, nampak macam tak beradab betullah aku ini. Aku tersengih pula kepadanya. "Maaf, haus sangat pula."
"Tak apa, mak cik tahu kamu baru balik dari petik buah-buah itu tadi. Mesti kamu terus datang ke sini, kan selepas mandi?" Soal mak cik itu sambil meneguk sedikit air yang aku tuangkan untuknya. Aku rasa merah padam wajah ini dibuatnya. Mesti mak cik ini sindir aku.
"Kamu apa khabar? Sihat?" Tanya mak cik itu dengan wajah yang masih ceria. Aku menjawab soalannya itu dengan anggukkan. "Mak cik ada tengok orang di Masjid Negara ada buat sembahyang ghaib untuk para penumpang yang tidak ditemui beberapa minggu yang lepas. Mak cik rasa kasihan betul kepada keluarga mangsa yang tidak berjaya menemui ahli keluarga mereka yang terkorban dalam nahas itu."
"Ya, saya pun sama. Saya berharap mereka yang gagal ditemui, ditempatkan bersama-sama orang-orang beriman yang lain." Kata-kataku dipersetujui oleh Mak Som. Kemudian, kami berborak lagi tentang perkembangan semasa. Banyak juga perkara yang berlaku di Malaysia ini ya, walaupun aku hilang selama dua tahun lebih.
"Imam Adi baru meninggal tiga minggu lepas. Dia itu orang lama dekat kampung ini." Beritahu Mak Som sambil aku menganggukkan lagi kepalaku. Imam Adi, ya. Rasanya dia itu imam masjid dekat Kampung Gelama Merah ini.
Waktu zaman kanak-kanak dulu, aku dan kawan-kawan aku selalu berkumpul untuk mendengar dia bercerita. Orang kampung pun berkumpul juga dekat halam rumah dia itu. Imam ini selalu ceritakan kisah-kisah nabi dengan wayang kulit. Memang menghayati betul kisah-kisahnya itu. Boleh tahan berbakat juga Imam Adi.
"Nauzubillahiminzalik. Macam mana dia boleh meninggal?" Tanyaku prihatin.
"Arwah dulu nak pergi ke pekan tapi entah macam mana polis kata motosikalnya hilang kawalan. Kemudian, motosikalnya itu pergi ke jalan bertentangan. Arwah meninggal kena gilis dengan lori." Aku menahan wajah takut mendengar kisah ngeri daripada Mak Som.
"Ahli keluarganya macam mana? Okey ke?"
"Mereka semua pergi ke Kelantan. Uruskan jenazah arwah dekat sana. Tak tahu pula bila mereka nak balik semula ke kampung ini." Beritahu Mak Som sambil meneguk lagi airnya.
"Siapa yang mengganti arwah sekarang?" Soalku namun belum sempat Mak Som nak menjawab, bunyi azan pula berkumandang, menandakan waktu Zohor. Bila sudah selesai, mak cik itu merafakkan tangan, membaca doa selepas azan.
Aku turut melakukan perbuatan yang sama namun tak tahu pula aku nak baca apa. Terkumat-kamit saja mulut ini bergerak tanpa mengucapkan apa-apa. Rasa macam tak patut pula aku tak ingat doa ini. Tak apa, nanti aku akan hafal doa selepas azan dengan bersungguh-sungguh.
"Hah, bilal masjid ini Abang Kamal. Dia itu abang ipar saya. Imam masjid yang baru ini namanya Ustaz Riduan. Dia itu belum kahwin lagi tapi dengar ura-ura dia dan keluarganya akan merisik anak Mak cik Timah Sabtu ini." Entah kenapa Mak Som cakap berbisik pula. Macam ini berita hangat yang mak cik-mak cik saja tahu. Aku sekadar mengiakan kata-katanya.
"Hah, kamu atau suami kamu tak buat majlis doa selamat ke?"
Aku sudah menarik kening. "Majlis doa selamat? Nak buat apa?" Apabila mak cik itu sudah mula menarik wajah pelik dengan soalanku, aku tersengih lagi. "Oh, tengah planning-planning lagi ini, mak cik. Maklumlah, saya baru balik semalam."
"Oh, macam itu ke? Maaflah, mak cik tak tahu. Mak cik cuma nak ingatkan saja kepada kamu. Almaklumlah, dengar saja ini kampung tapi luas kawasan ini macam pekan. Kalau kamu ada buat majlis doa selamat bagi meraikan kepulangan kamu dengan selamat, barulah orang-orang kampung ini tahu yang isteri Suhaimi masih hidup lagi. Tak adalah mereka terkejut tengok kamu bila tengah membeli barang dekat pasar nanti." Begitu panjang sekali Mak Som menjelaskan kepadaku.
Bagi pendapatku, nampak macam bernas tapi takkan nak jemput semua orang kampung ini? Upah katering? Pada masa yang sama, aku pun macam malas juga nak membuatnya. Ialah, bukan mudah nak buat sesuatu majlis seorang diri. Aku mencipta alasan.
"Tapi, mak cik, saya bukannya ada orang nak tolong saya buat majlis kesyukuran. Upah katering memang boleh tapi nak cari orang buka khemah lagi, nak membersihkan tempat lagi, susahlah saya mak cik."
Mak cik itu menepuk tangan kuat. Hampir nak melatah aku dibuatnya. Hesy, mak cik ini. Kalau aku cakap merepek-repek nanti, aku nak letak muka aku dekat mana? Dalam longkang? Mak Som melihatku dengan gembira. "Tak payah nak panggil katering. Buang duit. Kamu keluarkan duit untuk buka khemah saja."
"Kalau kamu setuju, mak cik panggil kawan-kawan mak cik dan orang-orang kampung yang sanggup nak masak sama-sama. Kita buat rumah terbukalah terus. Selepas itu, gotong-royong bersihkan tempat kamu." Hampir tercengang aku dibuatnya. Besar betul plan mak cik ini. Bertuah Suhaimi ada jiran yang baik dan sporting macam Mak Som.
"Saya bincang dululah dengan Suhaimi. Kalau setuju, barulah saya beritahu mak cik, ya?" Mak Som mengiakan saja kata-kataku. Setelah selesai berbincang, aku fikir untuk pulang ke rumah namun Mak Som mempelawa aku untuk solat Zohor di rumahnya dan makan tengah hari dengan ahli keluarganya. Segan itu, segan juga tapi kalau mak cik itu beria-ria, takkan aku nak buat tak tahu saja?
Sambil bantu Mak Som memasak (dia ada tegah tapi aku degil juga nak tolong), banyak juga perkara lain yang kami borakkan sehinggalah selesai makan. Dalam borak-borak itu, sempatlah juga aku tahu yang anak-anaknya ada tujuh orang. Dua anaknya itu sudah berumah tangga. Dua lagi dekat universiti. Yang keempat pula hadap SPM tahun ini dan tinggallah anaknya, dua orang yang dalam usia 13 dan 15 tahun.
Bila betul-betul aku nak balik, terserempak pula suaminya yang baru balik pekan di depan pintu masuk, membawa banyak bahan mentah untuk jualan pasar malam nanti. Riuh pula anak dua orang itu dan sanggup membantu bapanya untuk menyiapkan makanan bagi jualan nanti.
Sampai saja di rumah, aku mengambil tempat duduk di ruang tamu. Suasana nampak sunyi, tak seriuh rumah Mak Som walaupun hanya mereka berempat di rumah itu. Mungkin riuhnya lebih kerana ada anak-anak agaknya.
Seronok ke ada anak?
Tiba-tiba saja, soalan itu muncul. Aku menarik nafas panjang. Dalam usia 30-an ini, rata-rata kawan sekolah aku semuanya sudah berkahwin dan ada anak tapi, aku belum bersedia lagi. Suhaimi pun baru beberapa bulan kenal takkan aku nak buat benda itu dengan dia? Mungkin nanti? Nanti itu pun nanti, tapi tak mahulah pula aku biarkan dia lama-lama. Afterall, dia sudah lama menunggu aku pulang, takkan dia tak teringin sesuatu daripada aku?
Jika dibiarkan lama-lama, aku pula menggigit jari bila dia kata, dia ada seseorang yang lain bertakhta dalam hati. Manalah tahu dia ada seseorang ke tapi tak cakap dekat aku? Ialah, dia itukan baik dan boleh tahan juga kacaknya.
Takkanlah tak ada sesiapa yang hendakkan dia atau dia tak berkenan langsung dengan mana-mana perempuan sepanjang dua tahun lebih aku menghilang? Mustahil. Entah-entah pagi sampai ke petang ini, dia pergi jumpa perempuan lain.
Aku menarik lagi nafas panjang lalu berdiri tegak. Kenapa pula aku fikir macam ini? Walaupun aku kenal dia tak lama, tapi aku percaya dia seorang yang setia. Dia baik dengan ahli keluarga aku dan baik betul dengan aku, takkanlah dia nak buat macam itu?
Langkah kakiku menuju ke dapur. Daripada aku fikir benda-benda macam itu, tak ke lebih baik kalau aku buat jus buah naga untuk Suhaimi? Mesti dia penat selepas balik dari kerja. Setelah mengambil beberapa biji buah naga dan letak di atas meja counter, aku mencapai telefon pintar milikku untuk mencari pelbagai resepi jus buah naga di Internet. Aneka resepi yang boleh dibuat dengan buah naga ini membuatkan aku telan liur. Hm, lebih baik aku fikir tentang buah naga saja.
Comments
Post a Comment