RED DOOR PART 4: SELAMAT DATANG!

 Aku memeluk ibu erat. Perasaan kasih dan sayang kepada wanita dalam usia 50-an itu membuatkan aku berasa sebak untuk mengucapkan selamat tinggal. Akhirnya, pelukan kami terlepas juga. Ibuku mengesat air matanya yang berlinangan jatuh. 

 Wajahnya berkerut. "Dah, tak payah nak sedih sangat. Patutnya kamu kena gembira sebab kamu dapat jumpa balik suami kamu. Sudah. Jangan nak menangis lagi. Oh, lagi satu. Jangan nak beraku-kau dengan suami. Tak hormat namanya."

Aku mengangguk perlahan nasihat yang diberikan oleh ibu. Kemudian, aku berkalih pula kepada ayah yang baru sahaja berjabat tangan dengan Suhaimi. "Saya pergi dahulu ayah. Doakan keselamatan saya. Semoga saya selamat sampai di kampung nanti." 

 Ayah hanya mampu menghulurkan tangannya untuk dicium olehku. Bukan aku tak nampak air mata yang tertahan-tahan disebalik kaca mata yang dipakainya itu, cuma aku saja buat tidak endah. Aku tahu ego ayah itu tinggi untuk mengalirkan air matanya namun kasih sayang yang diberikan ayah dapat diketahui olehku dengan lebih baik berbanding ibu.

 "Hm, ya. Nanti bila sudah sampai nanti jangan lupa call. Kalau tak, ayah datang ke situ nanti." Ujar ayah dengan suara yang bimbang. Aku hanya tersenyum nipis.

"Baik ayah."

 Setelah berpelukkan dengan Zahirah dan mengucapkan selamat tinggal kepada adikku dan isterinya itu, sudah tiba masa untuk aku pulang ke rumah bersama Suhaimi. Lelaki itu membuka pintu kereta buatku. Sebagai tanda penghargaan, aku mengucapkan terima kasih lalu masuk ke dalam perut kereta.

 Sudah hampir sejam aku merenung ke luar tingkap. Kenderaan di luar menjemukan diriku. Muzik yang dipasang pula walaupun kedengaran rancak tapi seperti tengelam timbul dalam mindaku yang sarat dengan beribu soalan. 

 Soalan kepada siapa? Aku mencuri lihat kearah si pemandu kereta. Suhaimi, suamiku. Wajah lelaki itu nampak serius dengan mata yang fokus pada jalan raya. Aku merenung lagi Suhaimi dari atas hingga ke bawah.

 Rambut yang disikat ke belakang itu menunjukkan imej Suhaimi yang nampak 'macho'. Wajah yang bersih tanpa sebarang kumis atau misai itu menampakkan dia seperti lebih muda daripadaku. Setelah kereta berhenti ketika lampu isyarat merah, barulah dia menoleh kearahku. "Ada apa-apa ke?"

"Saya terfikir kalau abang..."

 "Abang?" Suhaimi memintas kata-kataku. Tidak lama kemudian, lampu isyarat bertukar hijau. Lelaki itu memandang semula ke jalan raya namun bibirnya masih bergerak-gerak. "Kenapa pula panggil macam itu?"

 Aku menaikkan kening. "Kenapa? Tak suka? Nak beraku-kau balik ke?" Suhaimi pantas menggeleng apabila nampak wajahku yang kurang senang dengan soalannya tadi.

 "Tak adalah. Uhm, suka je sebenarnya." Lelaki itu menggaru rambut di belakang telinganya. "Kalau macam itu, saya panggil awak sayang, boleh tak?"

 Aku menjuihkan mulut ke depan sambil peluk tubuh. "Eiii, sayang?" Pada masa yang sama, aku menjeling wajah cik suami yang tiba-tiba berubah. Nampak seperti sedih. Aku tersenyum nipis. Comelnya, macam nak cium saja. Keinginan yang aneh tiba-tiba muncul. Aku sedikit terkejut dengan permintaan yang tersembunyi ini. 

 Benda apa yang aku mengarut tiba-tiba tanpa khabar ini? Aku berkerut dahi seorang diri namun aku tidak mahu situasi dalam kereta semakin sunyi. Akhirnya, aku melepaskan gelak tawa yang kecil.

 "Main-main sajalah. Panggillah saya ini sayang ke, honey ke, baby ke. Cuma, jangan panggil babi sudah. Cakap macam itu, ini jawabnya. Faham?" Beritahuku sambil menunjukkan penumbuk. Suhaimi menoleh kearah tanganku buat sepintas sebelum mengambil lembut tanganku lalu dicium perlahan.

 "Hm, ya. Baiklah, Permaisuri Alisya." Ujar lelaki itu sambil aku masih tergamam dengan tingkahnya yang tidak dijangka. Tiba-tiba, pipiku terasa bahang. Aku melontarkan pandangan kearah tingkap yang menampakkan pelbagai kenderaan melepasi kereta cik suami. Walaupun ianya membosankan tetapi aku perlu memastikan diriku tidak melakukan perkara yang bukan-bukan. 

 Fikiranku perlu ditenangkan. Emosiku yang terlampau gembira tidak boleh ditunjukkan sembarangan. Aku meneguk air botol sambil mata dikerlingkan kearah suami walaupun tekak tak dahaga. Suhaimi sedang memandu sekarang. Kalau berlaku kecelakaan di jalan raya nanti, pasti aku berasa begitu bersalah kelak.

Setelah sekian lama terdiam, aku membuka lagi mulut. Aku tidak mahu situasi menjadi sunyi. Pada masa yang sama, aku mula menyedari Suhaimi bukanlah jenis yang suka bercakap seperti ayah, ataupun boleh jadi juga Suhaimi tidak pasti nak berkata tentang apa dengan diriku.

  Apatah lagi, aku sudah melupai kenanganku bersama Suhaimi, jadi apa yang dikatakan oleh Suhaimi tentang diriku pada masa lalu pasti akan membuatkan diriku menjadi stres. Itulah apa yang dikatakan oleh doktor beberapa hari yang lalu setelah aku disahkan amnesia.

 "Kenapa nama kampung yang kita nak pergi ini namanya Kampung Gelama Merah? Kampung ini dekat dengan laut ke?" Soal diriku ingin tahu. Akhirnya keheningan yang terdapat dalam kereta bersama iringan lagu sendu ini dapat dimeriahkan.

 Wajah Suhaimi beriak tenang. "Dulu, ada sekumpulan pendatang daripada Tanah Jawa, Indonesia yang diketuai oleh Allahyarham Tuan Haji Tahir pada tahun 1913. Mereka ini telah tinggal di bahagian selatan kampung ini. 

 "Dulu dekat sungai ini ada bijih timah. Jadi berlumba-lumbalah orang dulu nak kutip bijih timah itu tapi bila British masuk campur, tak banyak perkara yang penduduk kampung boleh buat tentang bijih timah dalam sungai itu."

 Aku hanya mengangguk lagi. Tidak lama kemudian, kereta yang dibawa oleh Suhaimi berhenti lagi pada lampu isyarat kedua. Matanya dilirikkan pada jam yang terdapat pada dashboard kereta. "Dah nak pukul satu lebih, awak lapar tak?"

 "Lapar. Nak makan dekat mana?" Tanyaku. Suhaimi menunjukkan stesen minyak yang nampak macam dua minit boleh sampai ke sana. Aku mengamati teliti stesen tersebut. Oh, ada KFC dekat situ. "Hm, bolehlah." Jawabku ringkas. 

 Perut pun sudah mula berkeroncong. Tak ada masa nak fikir kedai makan mana yang lebih best. Ialah, aku sendiri pun bukan tahu-menahu sangat kawasan kampung ini. Suhaimi juga turut bersetuju. "Jadi, kenapa nama kampung ini, Kampung Gelama Merah? Setahu saya, ikan gelama tinggal dekat muara sungai yang nak hampir-hampir ke laut." Jawabku dengan suara yang masih tidak berpuas hati kerana tidak mendapat jawapan yang dimahukan.

 Suhaimi turut mengangguk lagi kepalanya, tanda setuju. "Betullah itu tapi pada suatu hari, orang kampung digemparkan dengan ikan gelama merah yang banyak tersadai berhampiran sungai. Macam ada angin yang bawa ikan-ikan itu ke situ. Sisik ikan itu dikatakan merah seperti batu permata. Bersinar-sinar."

 Aku hanya mengiakan saja kata-katanya itu. Selesai mengisi perut dan solat di masjid berhampiran, kami menyambung lagi perjalanan. Setelah aku ternampak papan jalan raya yang menampakkan perkataan 'Selamat Datang ke Kampung Gelama Merah' , mataku cepat menangkap imej tugu seekor ikan gelama berwarna merah di hadapan mata. 

 Walaupun nampak jauh lagi tapi tugu yang berkilat itu membuatkan aku terasa nostalgia. Sepertinya, aku sudah mula berasa dekat dengan kampung ini. Sesuatu perasaan yang janggal datang. Déjà vu.

 "Nak pergi bergambar dekat tugu tak?" Soalan lelaki itu diyakan lagi olehku. Setelah keretanya dihentikan di tepi jalan, Suhaimi mula mengambil gambarku dalam pelbagai posisi. Ada gambar itu, aku sedang duduk, kemudian berdiri di sebelah ikan itu pula. 

 Aku menatap gambar aku yang seperti takut dimakan oleh ikan tersebut. Tanpa sedar, senyuman terukir pada wajah ini. "Ambil gambar abang pula." Pintanya kepadaku.

Klik! Klik! Klik!

 Suhaimi merapati diriku. Aku sedikit cuak dengan tingkahnya yang tiba-tiba itu. Rasa macam nak tercabut jantung ini dibuatnya. Suhaimi mengambil telefonnya daripada tanganku. Aku melihat dahinya berkerut. "Apa ini? Kaburlah. Ulang balik."

Klik! Klik! Klik!

 Suhaimi melihat lagi gambar baru yang diambil olehku. "Hisy, yang ini tutup mata pula. Yang lain macam tak ready lagi. Alamak, macam kabur lagi." Aku hanya mencebik mendengar kata-katanya itu sambil memeluk tubuh.

 "Kalau tak suka, awak ambillah gambar awak sendiri. Saya nak tunggu dekat kereta." Baru sahaja aku nak melangkah pergi, dia mencapai tanganku. Aku menoleh. Wajahnya yang kasihan membuatkan aku rasa bersalah. Sudahlah dia belanja aku makan lepastu, ambilkan gambar aku pula itu. Takkan aku nak biar dia dekat sini seorang diri?

 "Janganlah pergi. Awak dah lama sangat tinggalkan saya." Aku meraih kembali pegangan tangannya. Aku tak boleh melihat dia cakap macam itu lagi walaupun aku tak berapa rapat dengan lelaki ini. Walaupun aku amnesia tetapi perangaiku yang sanggup menunaikan apa yang orang nak iaitu 'people-pleaser' memang tidak mampu bercerai daripada jiwa ini. 

 Dengan hati yang berat tapi tak sanggup melihat orang lain bersedih lagi, aku menurut permintaannya untuk bergambar bersamanya. Setelah sekian lama berselfie, dia menatap imej-imej yang diambil. 

 Nampak seperti terangguk-angguk dengan senyuman yang kecil. Macam sudah berpuas hati. Suhaimi memandang wajahku. "Jom balik ke kereta." Dia menghulurkan tangannya dan dengan nafas yang lembut, aku mencapai tangannya itu.

 Ketika berada di dalam kereta, aku melihat beberapa orang pelancong asing bergambar dengan tugu ikan itu. Tidak jauh daripada tugu tersebut, ada beberapa rumah yang dihias dengan cantik. Nampak macam rumah homestay.

 "Dekat belakang homestay itu, ada sungai. Sungai itupun dikatakan ada ikan gelama merah dekat situ. Beberapa tahun sebelum inilah." Ujar suamiku sambil menghidupkan kembali enjin kereta.

"Boleh mandi-manda ke dekat situ?" Soalanku dianggukkan oleh Suhaimi.

"Lain kalilah kita pergi sana. Sekarang ini, kita pergi ke rumah kita dahulu."

 Kami meneruskan lagi perjalanan. Aku mula melihat beberapa rumah kampung di kiri dan kanan jalan raya. Terdapat juga sebuah sekolah yang mempunyai padang yang luas. Disebelah sekolah itu adalah sebuah jejantas yang dilepasi oleh kereta Suhaimi. 

 Semakin jauh perjalanan kami, jalan raya semakin lama, semakin sempit. Keretanya membelok ke kanan lalu pemandangan berubah kepada kebun-kebun getah. Suhaimi kata, ianya adalah milik orang kampung.

 Kemudian, rumah-rumah kampung menghiasi lagi kiri dan kanan jalan. Ada yang sudah mula berbatu dan ada juga yang mengekalkan bentuk tradisional rumah dengan bahan binaan seperti kayu.

 Tidak lama kemudian, kereta Suhaimi membelok pula ke kiri. Aku terpesona. Inikah rumahnya? Aku menoleh kearah Suhaimi. "Betul ke kita tak salah rumah ini?" Ternyata cik suami menggelengkan kepala. Bangunan putih yang mempunyai ciri-ciri kolonial British ini adalah rumah aku dan Suhaimi?

Biar betul.

 Walau apa-apapun, keretanya itu berhenti disebelah garaj yang bersebelahan dengan anjung depan rumah. Sebaik sahaja aku keluar dari rumah, aku melihat tugu burung jenjang yang 'berposing' di tengah kolam air pancur. Ianya terletak di hadapan rumah tersebut. 

 Suhaimi mahu membantu aku mengambil beg bagasi milikku namun aku menolak permintaannya. Ketika pintu yang besar itu dibuka oleh Suhaimi, aku menjadi terpesona dengan dekorasi dalam rumah.

 Karpet merah Persia yang menutup lantai kayu gelap nampak cantik pada mataku. Suasana rumah yang dhiasi dengan warna yang terang membuatkan rumah ini nampak hidup dan tidak suram seperti tanggapanku sebelum masuk ke dalam rumah ini.

 "Jom naik atas." Pelawa suamiku. Aku sudah mencuri-curi tengok ruang kanan dan kiri rumah tapi tak kelihatan pula sebab nampak gelap. Aku menurut kata-katanya lalu membawa beg bagasiku dengan kaki yang terketar-ketar memijak anak tangga sebelah kiri yang diperbuat daripada kayu berukir daun.

 Suhaimi masih lagi menawarkan pertolongannya untuk membawa beg bagasiku. Aku hanya membiarkan sahaja dia mengambil beg bagasi itu. Dah nampak beria-ria sangat, aku bagi sajalah. Pada dinding laluan ke tangga, ianya dihiasi dengan corak bunga-bunga kecil vintaj.

  Beberapa bingkai gambar tersebut diisi dengan gambar rumah yang lama. Terdapat juga gambar perkahwinan aku dan Suhaimi. Aku mengamati foto sepasang lelaki dan perempuan yang sedang berdiri. 

 Terdapat seorang budak lelaki yang dipegang bahunya oleh lelaki dewasa itu. Mereka bertiga memakai pakaian melayu tradisional. Lelaki dewasa dan budak itu siap memakai destar dan sampin lagi. Gambar keluarga Suhaimi agaknya.

 Pada dinding itu juga, aku ternampak gambar perkahwinan aku dan Suhaimi. Bingkai gambarnya besar dan berwarna emas. Kelihatan seperti mahal pula. Aku cuba menyentuh gambar itu tetapi tiba-tiba Suhaimi bersuara. "Awak tengok gambar perkahwinan kita, ke?" Soalnya sambil berdiri berhampiran dengan sebuah tingkap yang berbingkai kayu gelap.

 Cahaya yang cerah dari luar menampakkan karpet merah yang mempunyai corak geometri ala-ala dekorasi Islamik. Jika aku perhati betul-betul bentuk geometri itu, ianya akan menjadi bentuk seperti bunga.

 Aku mengangguk perlahan dengan senyuman yang tergaris pada wajah. "Cantiknya gambar perkahwinan ini. Siapa yang tangkap gambarnya? Orang sini ke?"

 Suhaimi turut tersenyum. "Itu lukisanlah. Bukan orang ambil gambar." Hah, biar betul? Aku melihat lagi sekali gambar itu. Eh, betullah macam lukisan yang dibuat pada kanvas. Aku perhatikan gambar lain pula. 

 Hah, gambar keluarga ini pun samalah! Hakikat yang sebenarnya, semua potret itu dilukis dengan tangan dan bukanlah dengan kamera. Aku berhenti sejenak. Aku ini dah mula rabun ke?

 Bila aku sedar Suhaimi masih lagi tercegat di tempat yang sama, aku berasa sedikit bersalah. Kenapa dia tak panggil aku? Aku hanya tersengih sahaja kepadanya. "Eh, maaf buat abang tunggu lama-lama. Seronok pula tengok gambar ini." Ujarku lalu mempercepatkan langkah menuju kearahnya namun entah macam mana, benang pada bajuku terkena sebuah potret kecil di situ menyebabkan ianya terjatuh dan cerminnya pecah berderai.

 Suhaimi segera mendapatkan aku. "Sayang tak apa-apa?" Wajahnya nampak risau tetapi aku cepat-cepat menggeleng.

 "Maaf sebab jatuhkan potret itu. Uhm, biar saya bersihkan." Kataku dengan perasaan yang bertimpa-timpa bersalah. Ketika aku mencapai potret itu, aku rasa bingkai gambar itu agak berat dan ianya menambahkan lagi perasaan bersalahku. 

 Entah-entah, bingkai gambar ini mahal. Sudahlah semua gambar yang digantung adalah lukisan. Mestilah ianya juga bernilai. Kalau ada sebarang kerosakkan terhadap bingkai gambar atau lukisan ini, macam mana aku nak berhadapan dengan Suhaimi? 

 Memanglah dia suami aku tapi kami baru sahaja berjumpa balik dan aku tak rasa rapat dengan dia. Pada masa yang sama, aku sudah terfikir adakah keputusan aku untuk datang ke sini adalah pilihan yang baik?

 Suhaimi menepis tanganku daripada memegang butiran kaca yang berderai. "Dah, jangan pegang kaca itu. Nanti luka."

"Tapi..."

 "Alisya." Katanya dengan suara yang lembut. Aku mendongak melihat dia. Walaupun kami berdua bercangkung tetapi susuk tubuhnya yang tinggi itu membuatkan aku terpaksa mendongak untuk melihat anak matanya itu, hanya untuk memastikan dia tidak bercakap lembut namun wajahnya merah menahan marah. Lelaki ini masih lagi tersenyum. Eh, dia tak marah ke dengan aku?

 "Biar saya yang kemas. Saya tak mahu awak cedera nanti." Walaupun kata-katanya itu membuatkan aku sedikit tenang, kerana dia tak marah tapi, aku masih lagi bersalah kerana buat macam itu pada hari pertama aku datang ke sini.

 Aku menggeleng. "Eh, betul ke ni? Tapi sekurang-kurangnya bagilah saya gantikan balik bingkai gambar itu." Aku terdengar Suhaimi mendengus perlahan sambil mencapai bingkai gambar yang calar itu.

 Dia masih lagi memandangku dengan pandangan yang redup. Keningnya tidak bertaut dan dahinya juga tidak berkerut. Senyuman itu juga masih tidak lekang daripada wajahnya. "Kalau awak nak sangat bayar, saya akan beritahu bayarannya." Tiba-tiba, dia merapatkan wajahnya. Aku tergamam. Wajahnya dirapatkan pada telingaku. "Harganya adalah 20 sen."

 Suhaimi menjauhkan semula dirinya daripadaku. Aku pula buat muka 10 sen. "Cakaplah betul-betul." Kataku dengan suara yang sengaja digedik-gedikkan. Dia tertawa melihatku yang memeluk tubuh sementara menjuihkan bibir ke hadapan. Entah kenapa, aku juga turut tertawa walaupun aku tak tahu mana yang lawaknya.

 "Jom saya tunjukkan bilik dekat atas sana." Pelawanya dengan jari yang ditunjukkan ke koridor sebelah kanan. Koridor itu nampak panjang dan gelap. Aku mencapai tangannya dan dia memandang dengan wajah yang terkejut. Oh, aku ingatkan dia hulurkan tangannya tadi. Buat malu sahaja. Aku mahu melepaskan balik tetapi dia menggengam erat tanganku.

 Baru sahaja aku mahu menurut langkahnya, mataku terpandang tempat letak potret yang terjatuh tadi. Jam dinding? "Sekejap!" Kataku sepatah. Suhaimi memandang lagi ke wajahku.

''Kenapa?"

 Aku menunjukkan jam loceng yang ada di belakang potret itu. "Kenapa ada benda ini dekat belakang potret tadi?" Tanyaku dengan sebelah kening yang terangkat sedikit. Jika jam antik itu dikeluarkan, pasti akan ada lubang yang bulat pada dinding tersebut.

"Betul awak nak tahu atau sekadar bertanya?"

"Mestilah betul-betul nak tahu."

 Kali ini, senyumannya tidak lagi wujud. Wajahnya nampak serius. "Awak percaya tak masa yang ada di rumah ini lagi cepat dari masa yang ada di luar?" Aku hanya mampu terdiam. Perkara apa yang Suhaimi mengarutkan ini? 

 "Awak tak percaya, kan? Tak apalah. Bukan saya nak paksa awak sangat pun percaya benda-benda macam itu. Tapi, cukuplah sekadar saya nak beritahu awak, awak kena selalu tengok jam. Ialah, masa itukan emas?" Dia memberitahuku dengan senyuman kembali namun sedikit berbeza dari tadi. Nampak misteri dan aneh bagiku.

 "Sudahlah, banyak sangat kita habiskan masa dekat tangga ini. Awak nak ikut saya ke tidak?" Soalannya dianggukkan olehku. Kami berdua berjalan bersama-sama dengan dia memimpin tanganku. Bingkai gambar yang pecah itu diletakkan pada sebuah meja. Dia mencapai beg bagasiku lalu kami menuju ke koridor sebelah kanan.

 Kami berada di bilik pertama. "Ini, bilik lukisan. Ada juga tempat untuk awak nak melukis. Kalau bosan." Jawabnya lalu membuka pintu seterusnya. "Bilik rehat. Ada tv dan sofa dekat sini. Hanya bilik ini sahaja yang ada tv dekat sini. Ruang tamu dekat tingkat bawah, tak ada. Oh, dan juga pendiang api. Tak tahu kenapa ada dekat bilik ini. Mungkin orang dulu ingat, negara kita ini ada musim salji agaknya."

 Suhaimi membuka pintu yang seterusnya. "Bilik tidur anak kita tapi masih kosong. Ada empat bilik sebenarnya. Bilik-bilik ini berhadapan diantara satu sama lain." Jelasnya. Aku masuk ke bilik yang luas itu. Betulkah ini bilik tidur? Luas betul!

 "Satu bilik ini macam boleh muat 10 orang dekat sini, kalau tidur beralaskan tilam." Kataku spontan. Aku perasan Suhaimi tidak bercakap apa-apa jadi aku menoleh kearahnya yang hanya bersandar di pintu bilik.

"Alisya, saya tak pasti kalau awak nak rumah ini terlampau bising. Gema yang kita berdua buat pun mungkin boleh sampai ke tingkat bawah."

 Pada mulanya aku tak faham apa yang dia katakan namun perlahan-lahan wajahku berubah merah. Aku nampak Suhaimi menjongketkan keningnya dengan senyuman yang nakal. "Tak payahlah cakap macam itu." Kataku dengan sengaja buat-buat batuk. Dia ketawa kecil lalu berjalan kearahku. Dia menggapai lagi tanganku lalu kami menuju ke bilik yang seterusnya.

"Dan, yang ini pula, bilik kita berdua. Cantik tak?"

 "Bilik kita berdua?" Aku tak sengaja menyoal spontan. Memanglah terpegun juga dengan dekorasi bilik ini tetapi, bilik aku dan Suhaimi?

 "Hmm. Kenapa? Sayang tak suka ke?" Tanyanya lalu duduk sekejap di bucu katil. Matanya langsung tidak berkalih daripada wajahku membuatkan aku berasa malu.

 Aku mahu bersuara tapi takut pula lelaki itu terasa. Lambat-lambat bibirku bergerak. "Saya memang suka tapi boleh tak saya ada bilik tidur saya sendiri? Rasa macam cepat sangat pula." Entah kenapa suaraku gementar pula.

 "Oh, ingatkan apa tadi." Kata Suhaimi lalu bingkas bangun. "Kalau awak tak selesa nak tidur dengan saya, awak boleh guna bilik ini." Lelaki itu memimpinku ke bilik yang bertentangan dengan bilik ini. Sebaik sahaja Suhaimi membuka pintu itu, terdapat sarung putih yang menutupi pelbagai perabot di situ. 

 "Dulu, ini bilik tidur saya tapi sekarang sudah kosong." Jelasnya lalu menarik kain putih pada beberapa perabot. Terdapat meja belajar, almari pakaian, laci kecil dan semestinya sebuah katil bujang. Dia cuba duduk pada atas katil tersebut. "Hm, masih elok lagi katil ini atau awak nak katil baru?" Soalannya cepat-cepat dijawab dengan gelengan olehku.

 Suhaimi mula berdiri di hadapan pintu. "Kalau begitu, awak berkemaslah dahulu pakaian awak. Saya kena keluar sekejap. Petang nanti saya balik." Aku hanya tersenyum sahaja tetapi aku seakan ternampak pintu dibelakangnya sedikit terbuka.

 Pintu itu berwarna merah. Merah gelap. Aku tak suka tengok sesuatu benda terbuka begitu sahaja. Tak kisahlah pintu almari pakaian yang dibiarkan luas ke, pintu terbuka ke, laci terbuka ke. Apa-apa yang seperti nampak celah dan boleh ditutup tapi tak ditutup membuatkan aku tak selesa.

 "Suhaimi, boleh tak awak tutup pintu itu. Saya tak sukalah." Beritahuku. Dia menaikkan kening lalu berkalih ke belakang. Aku tak nampak pula pintu merah itu apabila dia menghalang pandanganku.

 "Pintu merah ini?" Soalnya lalu dia merapati pintu tersebut. Tangannya menyentuh tombol itu. "Mana ada terbuka. Memang tertutuplah."

Aku tidak berpuas hati. "Betullah. Tadi macam terbuka sedikit."

 "Kalau awak tak puas hati, marilah buka pintu ini dan tutup balik." Pelawanya tapi dengan wajah yang separuh tersenyum seakan mengejek.

 Pada ketika aku mahu melangkah ke pintu merah itu, aku seakan terdiam dan tidak lagi bergerak. Hanya separuh depa dari pintu itu. Aku merapatkan diri sedikit dengan Suhaimi. Bila aku perhatikan pintu merah itu betul-betul, barulah aku perasan ada ukiran berbingkai pada pintu kayu yang bercat merah gelap itu. 

 Bukan bentuk bunga. Bukan bentuk geometri. Nampak seperti ukiran yang terdapat dalam gua orang purba. Aku tidak pula mahu menyentuh tombol pintu itu kerana aku seperti ada rasa sesuatu. Seperti ada sesuatu yang jahat ada di belakang pintu ini.

"Apa yang ada dalam bilik ini?" Aku menyoal kepada Suhaimi dengan kening yang sedikit dinaikkan.

"Barang lama."

"Barang lama apa? Siapa punya?"

"Barang lama pekerjaan ibu bapa saya. Kalau awak nak tahu, bukalah pintu ini." Katanya lagi. Kenapa Suhaimi cakap macam itu? Macam aneh pula bagiku. Ke, aku yang pelik? Paranoid? Suhaimi mendengus perlahan. "Kalau awak tak nak, saya yang bukakan." Katanya dengan suara yang nakal.

 Aku pantas menghalang tangannya daripada menyentuh tombol itu. Laju betul refleks aku. Aku tak tahu kenapa aku menghalang tangannya. Bukannya aku ingat pun apa yang ada di belakang pintu itu tetapi otakku dan seluruh badanku menunjukkan reaksi yang aneh. 

 Ketika aku memegang erat tangan Suhaimi, tanganku menggeletar ketakutan. Peluh merembes keluar dari kulit dahi. Rasa ketakutan menyerang dengan tiba-tiba. Seram sejuk pun ada sehingga boleh membuatkan wajahku pucat lesi.

 "Tak apalah. Biar saya buka sendiri." Kataku separuh tergagap sambil melepaskan tangannya. "Cuma, bukan sekarang. Saya nak kemas pakaian saya dahulu."

 Suhaimi dan senyumannya yang berpisah tiada itu menganggukkan kepala. "Kalau begitu, saya pergi dahulu ya. Nanti saya kunci pintu rumah. Kalau awak nak tidur sekejap, pergilah. Buat-buat macam rumah sendiri. Oh, ya. Kalau awak nak tukar cadar, awak boleh ambil cadar yang ada dekat bilik sebelah kiri ini. Ianya adalah bilik terakhir. Bilik itu khas untuk simpan cadar, sarung bantal dan langsir." Ujarnya panjang lebar lalu beredar pergi meninggalkan aku dengan sebuah beg bagasi.

Aku menarik nafas panjang. Baiklah, lupakan saja delusi pintu merah yang terbuka tadi dan fokuskan perkara lain. Pertama sekali, letak pakaian dalam almari. Aku cuba menenangkan fikiranku. Setelah siap mengemas pakaian, aku mengambil langkah kedua pula iaitu tukar cadar katil dan sarung bantal. Langkah ketiga, tidur sekejap.

 Sebaik sahaja meniarap di atas katil dengan cadar yang baru, aku merasakan fikiranku kosong. Bantal empuk ini memang boleh buatkan orang tertidur.



Comments