RED DOOR PART 3: DIAGNOSIS
Apa maksud amnesia? Amnesia adalah kehilangan ingatan atau memori yang mempengaruhi kemampuan kita untuk membuat, menyimpan, dan mengembalikan semula memori.
Itulah apa yang Doktor Fakhrul katakan kepadaku sementara ahli keluargaku yang lain berada disebelahku, turut mendengar kata-kata doktor tersebut. Aku yang berada di atas katil setelah menjalani sesuatu pembedahan hanya mampu tersengguk-senguk faham. Aku telah menjalani pelbagai pemeriksaan untuk mengesahkan penyakit amnesia ini benar-benar dialami olehku.
Menurut Doktor Fakhrul ketika dia menunjukkan imbasan MRI otakku, beliau mendapati aku mungkin mengalami kecederaan pada otak. Jarinya menunjukkan darah beku yang terdapat pada bahagian yang tercedera. Katanya, ini berlaku kerana aku mungkin terkena objek yang keras dan tumpul sehingga berlaku pendarahan otak. Entah bagaimana aku masih hidup lagi sehingga sekarang, itu semua keajaiban daripada Tuhan.
Mujurlah aku segera dihantarkan ke hospital untuk membuang darah beku yang terdapat dalam otak. Kalau tidak, aku mungkin akan mengalami kecacatan pada organ yang paling penting ini. Oleh kerana itulah, aku menjalani pembedahan dan terbaring di atas katil hospital ini. Ketika ujian darah dijalankan, tiada sebarang infeksi atau kekurangan nutrien pada tubuhku yang boleh menyebabkan amnesia.
Tidak lama kemudian, doktor itu memberitahu mengenai ujian Electroencephalogram atau ringkasannya, EEG yang digunakan keatas diriku untuk menilai aktiviti elektrikal pada otak. Sel otak berkomunikasi antara satu sama lain melalui impuls elektrik. EEG digunakan untuk membantu mengesan masalah yang berkemungkinan berkaitan dengan otak.
EEG mengesan dan merekodkan corak gelombang otak. Cakera logam rata kecil yang disebut elektrod dilekatkan pada kulit kepala dengan wayar. Elektrod menganalisis impuls elektrik dalam otak dan menghantar isyarat ke komputer yang merekodkan hasilnya.
Impuls elektrik dalam rakaman EEG kelihatan seperti garis bergelombang dengan puncak dan lembah. Garis ini membolehkan doktor menilai dengan cepat sama ada terdapat corak yang tidak normal. Sebarang penyelewengan mungkin merupakan tanda kejang atau gangguan otak yang lain.
EEG ini penting dijalankan keatasku untuk doktor ketahui jika aku mengalami gangguan sawan seperti epilepsi, kecederaan kepala, ensefalitis iaitu keradangan otak, barah otak, ensefalopati iaitu penyakit yang menyebabkan disfungsi otak, masalah ingatan, gangguan tidur, strok, ataupun demensia.
Setelah menjalani pelbagai ujian, dapatlah Doktor Fakhrul menyimpulkan bahawa aku mempunyai amnesia retrograde. Amnesia retrograde ini mempengaruhi memori yang terbentuk sebelum berlakunya amnesia. Ini bermaksud, aku yang menghidap penyakit ini disebabkan kecederaan trauma pada kepala mungkin tidak dapat mengingati apa yang berlaku dalam tahun-tahun atau sedekad sebelum hari kecederaan kepala ini.
"Ada carakah untuk menyembuhkan penyakit ini?" Ibuku menyoal. Tangannya menggengam erat tanganku yang lemah.
Doktor Fakhrul menggeleng. "Tidak ada ubat khusus yang digunakan untuk merawat amnesia retrograde ini. Secara amnya, rawatan Puan Alisya akan tertumpu pada penyebab amnesia yang asas. Sebagai contoh, jika puan menghidap epilepsi, saya dan puan akan berusaha bersama-sama mengurangkan bilangan sawan puan. Mujurlah puan tidak mengalami sawan. Sedikit-sebanyak, ianya dapat mengurangkan kesukaran hidup puan sebagai pesakit amnesia." Ujar Doktor Fakhrul dengan panjang lebar kepadaku.
"Apa saja terapi yang boleh diberikan untuk isteri saya?" Kali ini barulah Suhaimi bersuara pula setelah lama dia terdiam.
"Setakat ini, ada tiga terapi yang boleh isteri encik jalankan iaitu Occupational therapy, Psychotherapy dan Technology. Occupation atau pekerjaan adalah berkaitan dengan aktiviti seharian yang kita lakukan setiap hari. Contohnya, self-care, pergi bekerja, bermain, melakukan aktivti senggang dan lain-lain lagi.
"Occupational therapy adalah profesion kesihatan yang membolehkan pesakit mengambil bahagian dalam aktivti seharian mereka dengan lebih baik. Dengan bantuan terapi ini, pesakit dapat memberitahu masalah mereka kepada ahli terapi dalam keadaan persekitaran yang selamat. Mereka juga dapat mengekspreskan emosi mereka. Dengan ini, emosi mental pesakit akan jadi lebih stabil."
"Psychoterapy pula membantu pesakit untuk mengingati kembali memori yang hilang disebabkan kejadian yang traumatik. Ia juga dapat membantu pesakit yang mempunyai amnesia dalam bentuk yang lain untuk mengatasi kehilangan memori. Terapi yang menggunakan teknologi pula dapat dijalankan untuk pesakit amnesia belajar menggunakan teknologi baru, seperti telefon pintar dan tablet.
"Dengan latihan ini, pesakit yang mengalami amnesia yang teruk boleh menggunakan teknologi untuk menolong mereka mengatur dan menyimpan maklumat. Telefon pintar dan seumpamanya sangat berguna bagi pesakit yang menghadapi masalah untuk membuat memori baru seperti pesakit amnesia antrograde. Selain itu, alat peranti juga dapat digunakan sebagai alat penyimpanan memori lama. Foto, video, dan dokumen dapat dijadikan bahan rujukan yang baik untuk pesakit seperti isteri encik."
"Doktor, jika isteri saya jalani terapi-terapi ini, dia akan jadi lebih baik ke?" Soal Suhaimi lagi. Aku terkesima dengan pertanyaannya itu. Dia memang ambil berat dengan kesihatanku.
Doktor Fakhrul hanya tersenyum nipis. Lelaki itu sempat lagi membetulkan letak kaca matanya. "Hm, bergantung pada penyebabnya, amnesia retrograde mungkin menjadi lebih baik, lebih teruk, atau tetap stabil sepanjang hayat. Ini adalah kondisi serius yang mendatangkan cabaran kepada encik dan isteri encik, jadi pertolongan dan sokongan orang tersayang sering kali penting.
"Bergantung pada tahap amnesia yang teruk, seseorang pesakit boleh melakukan aktiviti seharian mereka dengan sendiri atau mereka mungkin memerlukan lebih banyak penjagaan dan pengawasan."
"Doktor." Kali ini, aku pula yang bersuara. "Kenapa saya boleh ingat siapa ahli keluarga saya tetapi bukan suami saya sendiri?"
Doktor itu menarik nafas panjang. Dahinya kelihatan bergaris ketika keningnya diangkat. "Kes seperti puan ini agak istimewa sedikit. Mungkin, boleh jadi otak puan berusaha untuk mengurangkan stres puan dengan memadamkan memori puan demi kebaikkan puan sendiri. Oleh itu, saya sarankan untuk puan jangan jadi lebih stres lagi. Elakkan diri daripada situasi yang tidak selesa bagi puan supaya puan dapat memulihkan memori puan yang hilang." Nasihat doktor itu dijawab olehku dengan beberapa anggukkan.
Tidak lama selepas itu, beliau mula memohon diri untuk keluar. Aku berbual dengan ayah dan ibu. Banyak kami bincangkan tentang terapi yang patut aku jalankan. Kemudian, Suhaimi menyarankan aku untuk tinggal bersamanya. Mungkin dengan cara ini, aku dapat memulihkan memoriku tentangnya.
Beberapa hari juga aku ambil masa untuk fikirkan tentang keputusanku untuk tinggal dengan Suhaimi. Lelaki asing yang seperti tak pernah dilihat olehku, tapi tiba-tiba mengatakan dirinya adalah suami kepada aku? Walaupun hairan dalam benak fikiranku namun sijil perkahwinan kami, gambar-gambar perkahwinan kami dan restu ibu bapa aku atas perkahwinan kami membuatkan aku meletakkan sedikit kepercayaan kepadanya.
Curiga?
Itu sudah pasti tapi tidaklah securiga kali pertama aku berjumpa dengannya. Dalam beberapa hari itu jugalah, aku perhatikan tindak-tanduknya terhadap keluargaku. Dia jenis yang suka bercakap dengan ayah yang aku tahu jenis yang tak rapat dengan orang.
Suhaimi juga boleh bercakap dengan ibu yang aku tahu adalah jenis yang tak mudah tersenyum. Hari itu, aku ada nampak mereka berdua bergelak ketawa lihat siaran Maharatu Lawak Megah di kaca televisyen. Bukan main lagi ibu ketawa sampai nampak gusi. Senyumannya meleret hingga ke telinga, melayankan rancangan yang bukanlah kegemarannya itu.
Suhaimi dengan Zahirah pun boleh dianggap kamceng juga. Siap kongsi gosip-gosip lagi. Entah apa yang mereka kongsi berita hangat pun, aku tak tahu. Cuma, adik lelaki aku sahaja yang tak rapat dengan Suhaimi tapi, boleh jadi juga sebab Rafiq ada Mya. Mungkin, Rafiq sibuk dengan hal rumah tangga dia. Entah-entah, dibelakang aku, mereka berdua pun baik-baik sahaja.
Akhirnya, aku mengambil keputusan juga untuk tinggal bersama Suhaimi. Bukan kecil keputusan yang dibuat olehku ini, jadi kenalah aku fikir semasak-masaknya walaupun sampai rentung akal ini digunakan.
Kalau boleh, aku nak saja minta cerai daripada Suhaimi tapi dia selalu bercakap dengan aku. Bagi aku makan sedap-sedap (dia yang masak!), ajak pergi dating dan bagi telefon mahal dekat aku. Alah, telefon pintar yang boleh lipat dua itu. Fuh, berpeluh dahi aku mendapat hadiah daripadanya. Katanya, dia sangat cintakan aku dan tak mahu perkahwinan kami berdua berakhir macam itu saja, jadi dia berusaha untuk melakukan apa yang terdaya buatnya demi membuatkan aku jatuh cinta dengan dia.
Oh, so sweet!
Aku berharap sangat kata-katanya itu jujur kerana hari demi hari, aku semakin jatuh cinta kepada dia. Kalau aku tertipu dengan kata-katanya pada suatu hari nanti, pastilah aku akan merana nanti dan mungkin penyakitku tak dapat disembuhkan.
Comments
Post a Comment