RED DOOR PART 2: MENGINGATI

  Zahirah membuka luas pintu almari. Matanya melilau-lilau melihat pakaian yang dilipat bertingkat-tingkat. Akhirnya, dia mengambil baju t-shirt ungu bersama seluar baggy biru navy lalu ditunjukkan kepadaku. "Akak pakai yang inilah." Aku menyambut pakaian yang diberi lalu bersiap untuk mandi.

 Pancuran air dipasang kuat olehku dengan kepala menadah air yang meluncur laju. Rambut panjang yang sehingga paras dada ini dicuci olehku dengan syampu. Bau wangi syampu milik Zahirah membuatkan aku berasa gembira kerana dapat menanggalkan debu yang sudah lama melekat pada rambut. Siapa sangka, perkara kecil seperti ini sudah membuatkan aku berasa gembira dan tersenyum seorang diri.

 Setelah selesai mandi, aku membelek wajahku pada cermin. Tengoklah debu yang melekat ini. Aku memerhatikan jerawat yang tumbuh pada pipi. Walaupun cuma ada dua sahaja, tetapi ianya membuatkan aku berasa rimas memerhatikan wajah sendiri. Nak dipicit, takut keluar lagi banyaklah pula. Aku mendengus perlahan sambil mencapai pencuci wajah adikku. Baunya yang seperti kelapa membuatkan aku teringin melihat jenama pencuci muka itu.

 Tabib Sheila? Jenama apa ini? Aku tak pernah dengar pun? Aku memerhatikan wajah bekas pencuci muka itu. Hm, dipercayai sejak tahun... Aku mengecilkan mataku. Oh, syarikat ini muncul sejak dua tahun yang lepas. Memanglah aku tak pernah nampak.

 Seusai memakai pakaian yang dipinjam, aku mula turun ke bawah. Mana Zahirah? Kelibat Suhaimi pun tak ada. Aku terdengar bunyi yang bising dari dapur. "Ayah." Aku bersuara riang sambil memerhatikan dirinya yang sedang memotong ikan pada beberapa bahagian.

 "Dah mandi?" Pertanyaannya diangguk laju olehku. Aku ternampak ayah masih mengekalkan senyumannya. "Kalau begitu, pergilah duduk di sofa sekejap. Mesti kamu penat lagi."

 "Tapi, saya nak tolong ayah. Saya pergi basuh beras, ya." Ujarku sambil mendekati ibu yang baru sahaja meletakkan beras ke dalam bekas periuk nasi.

 "Alisya, tak payah. Sia-sia saja. Ayah kamu kata begitu, ikut sajalah. Dah, pergi main jauh-jauh. Syuh." Jawab ibu dengan suara yang selamba. Dia menepis tanganku yang baru menyentuh mulut bekas periuk. Aku mencebik sedikit. Ibu, saya sudah 31 tahun! Saya bukan lagi budak-budak.

 "Mana Zahirah?" Soalku sebelum berganjak keluar dari dapur. Ibu menjawab soalanku dengan memberitahu Zahirah dan Suhaimi pergi ke supermarket. Nak pergi beli bahan-bahan yang tak cukup untuk buat tom yam. Nak beli udang lagi, sotong lagi.

 Aku berasa terharu mendengar kata-kata ibu. Aku memeluk ayah dari belakang. "Terima kasih, ayah. Saya sayang ayah." Jawabku dan ayah hanya ketawa kecil sambil menjawab bahawa dia juga sayangkan aku. Entah kenapa, aku berasa mahu menangis. Seperti perasaan sebak datang lagi sepertimana perasaan itu muncul ketika berada di lapangan kapal terbang tadi.

 "Kenapa kamu menangis? Kamu okey ke tak?" Tanya ayah yang berwajah bimbang melihat aku yang berusaha mengesat air mata daripada terus keluar. Aku menarik hingusku daripada keluar. Nanti aku yang malu sendiri.

 "Tak adalah. Cuma gembira dapat balik ke rumah lagi." Kata-kataku membuatkan ayah terpempan. Dia juga turut memelukku. Dalam pelukannya, aku berasa selamat. Aku seperti kanak-kanak yang kembali pulang dalam pelukan ibu bapanya setelah tersesat di pasar yang luas begitu lama.

"Sudahlah. Mak nak masak ini." Ujar ibu dengan tangannya yang memegang sebuah bekas biru. Mungkin baru dikeluarkan dari peti sejuk. Wajah ibu juga seperti mahu turut mengeluarkan air mata walaupun suaranya tadi kedengaran keras dalam telingaku. Aku turut memeluknya. "Sudah, mak dah bau ikan ini. Nanti melekat pula bau busuk ini dekat baju kamu. Pergi tengok tv sana."

 Ibu menyeka air mataku lalu aku akur sahaja dengan perintahnya. Aku mula keluar dari dapur. Hm, apalah rancangan yang menarik dekat tv agaknya? Aku mencapai alat kawalan jauh yang berada di atas meja kopi berhadapan dengan tv. Pada mulanya, aku terkial-kial menghidupkan tv itu. Entah bagaimana, tv itu boleh hidup sendiri. Bosan melihat dokumentari tentang haiwan di kaca televisyen, aku mengubah ke rancangan yang lain.

 "Assalamualaikum dan selamat tengahari para penonton Nona pada hari ini. Sihat? Pada hari ini, saya, Che Kalsom iaitu hos anda hari ini akan membincangkan tajuk 'Bahasa Melayu, masihkah relevan dalam dunia pendidikan kita?' Tajuk ini diketengahkan setelah tersebarnya video viral mengenai seorang bekas pensyarah universiti tempatan kita membuat video mengenai tajuk ini di Facebook. Isu panas mengenai video itu masih belum reda lagi nampaknya."

 Aku mendengar tajuk berkenaan dengan penuh minat. Manakan tidaknya, aku merupakan seorang guru menengah yang mengajar Bahasa Melayu. Tidak berkelip mataku mendengar kata-kata yang disampaikan oleh pengkaji sejarah bahasa yang dijemput untuk menyuarakan pendapatnya mengenai kelebihan Bahasa Melayu. Terangguk-angguk aku kerana bersetuju dengan kata-katanya.

 Bahasa Melayu. Walaupun bahasanya hampir sama dengan Bahasa Indonesia dan meminjam banyak perkataan daripada Arab dan Inggeris, tetapi tidak dapat dinafikan, tanpa Bahasa Melayu, cerminan rakyat tempatan akan pecah dan musnah. Masyarakat negara ini akan kehilangan jati diri mereka sendiri. 

 Akhirnya apabila Bahasa Melayu sudah pupus, apa lagi yang masyarakat ada setelah budayanya hilang ditelan zaman? Akan berlakukah kejatuhan moral yang amat dahsyat? Bagaimana pula dengan sikap generasi muda akan datang? Akan karamkah kapal yang dinakhodakan anak-anak muda yang alpa sejarah nenek moyang mereka dahulu dalam mencari kemajuan negara?

Pin!

 Bunyi hon kereta memenggal mati lamunanku. Aku sedikit tersentak setelah begitu mendalam aku berfikir mengenai bahasaku sendiri.

"Assalamualaikum."

 Aku ternampak sebuah kereta di luar pagar rumah disebalik sliding door yang terbuka luas. Ternaik keningku dibuatnya. Siapa punya kereta ini? Merah berkilat. Aku melihat kearah seorang lelaki yang membuka tingkap keretanya. Wajahnya macam kenal tapi di mana ya? "Siapa itu, ibu?" Puan Baizura yang baru sahaja keluar dari dapur, cepat-cepat membuka pintu. Wajahnya tersenyum lebar.

"Adik kamu."

 "Adik saya?" Aku menyoal aneh. Wajah lelaki muda yang mengenakan cermin mata itu adalah adikku? Sejak bila pula dia pakai cermin mata? Aku memandang sekilas isterinya yang sedang mengandung. Bunyi anak kecil memanggil "Opah. Opah" kedengaran bingit pada telingaku.

***

 Bunyi berdehem daripada ayah mengejutkan aku daripada terus mengelamun jauh. "Tak sedap ke tom yam yang ayah buat?"

 Aku mengangkat kepala. Entah kenapa, aku seakan termangu-mangu sekejap sebelum tersenyum nipis. "Eh sedap." Aku mengambil sejemput nasi dan lauk udang yang disiram dengan kuah tom yam. Mulutku mengunyah makanan itu sambil membuat senyuman yang dibuat-buat. Setelah selesai mengunyah, barulah aku bersuara lagi, "Sedapnya. Rindu Alisya dengan tom yam ayah. Kalah ibu punya." 

 Ayah mengukirkan senyumannya. "Kalau macam itu, tambahlah lagi. Zura, kau tolong bagikan tom yam itu lagi dekat Alisya." Ibu menolak mangkuk kaca yang berisi tom yam kepadaku yang sudah tidak berselera, namun aku ambil juga sesenduk kuah tom yam itu. Maklumlah, aku mahu menjaga hati ayah yang penat-penat masak untukku. Nanti kecil hati, susah pula. Aku sedar ayah sangat gembira dengan kepulanganku dan aku juga gembira dapat melihat wajah keluargaku lagi.

"Rafiq..."

"Kakak..."

 Secara serentak, aku dan adik lelakiku bersuara. "Kakak dululah cakap." Pinta Rafiq namun aku menolak. Aku nampak wajah ingin tahu pada Rafiq. Pasti dia mahu bertanya tentang kehilanganku. Tentang pulau itu. Tentang keadaannya di sana. "Apa yang kakak buat dekat pulau itu?" Aku tersenyum kecil tatkala soalan itu dilontarkan. Ternyata tekaanku benar. Pada masa yang sama, masing-masing mengunci mulut ingin tahu kisahku. Entah bagaimana, anak kecil Rafiq juga turut terdiam, seperti ingin turut sama mahu mengetahui cabaran yang dialami olehku.

 "Pernah tengok cerita Lost? Drama bersiri orang putih tentang seorang lelaki yang menaiki sebuah kapal terbang lalu terhempas di sebuah pulau." Rafiq mengangguk perlahan. Sesekali terlihat gelengan kecil daripada isterinya itu tetapi aku hanya pandang sebelah mata.

 "Kenapa tentang drama itu? Pulau yang Alisya terkandas itu boleh bergerak ke?" Soalan daripada Suhaimi dijawab dengan gelengan.

 "Tak ada apa-apa pun yang berlaku dekat sana. Oh, mungkin ada juga mimpi sesuatu yang buruk dekat situ. Pelik sedikit. Kelakar pun ada juga. Cuba bayangkan, kita ada di sebuah bilik. Kita tak tahu betapa tingginya bilik itu sebab silingnya pun kita tak nampak. Dalam bilik yang gelap itu, kita hanya nampak cahaya yang menyinar daripada rekahan dari celah-celah yang ada pada dinding bilik itu. 

 Dalam mimpi itu, kakak cuba keluar dari bilik itu dengan mengorek rekahan tersebut tapi ada labah-labah yang menarik akak sampai akak jatuh. Sampai tak bernafas dibuatnya sebab tiba-tiba sahaja rasa takut. Kelakarnya di sini adalah kakak suka tentang labah-labah. Pelikkan?" Soalku mengejut kepada Zahirah.

 Adik hanya mampu bersetuju walapun kata-kataku mungkin kedengaran aneh pada telinganya. Dia mahu bersuara mengenai itu tetapi aku terus menyambung kisah. "Labah-labah itu bukan besar tapi kecil. Kakinya yang berbulu itu seperti jarum-jarum panjang yang menusuk ke kulit sehingga ke tulang. Setiap kaki labah-labah itu bergerak, terasa seperti jarum dicucuk berkali-kali pada kulit sehingga boleh mengeluarkan nanah."

 "Mama." Anak kecil Rafiq menangis. Aku segera menamatkan kisah. Masing-masing seperti terdiam mendengar tangisan budak kecil itu. Wajah mereka nampak takut. Adakah mereka memikirkan mimpi aku yang aneh dan menjijikkan itu? Aku mahu sangat tahu apa yang mereka fikirkan. Si ibu mula mengajak anaknya mencuci tangan sambil memujuk agar tidak lagi menangis.

 "Kenapalah kau cerita benda macam ini dekat meja makan, Alisya oi?" Suara ibu bagai ditarik panjang sambil dia mencapai segelas air. Diminumnya air itu sebelum berdehem kecil. Wajahnya berkerut, mungkin tidak selesa dengan kisah aku tadi.

 Aku menolak kerusi ke belakang. "Maaf, kakak tak terfikir pun untuk jadi macam ini." Baru saja aku mengangkat pinggan lalu mahu menuju ke dapur, ayah menyoal untuk menambah lagi nasi tetapi aku menolak. Kali ini, seleraku benar-benar mati. Aku penat sejak daripada pulau itu sehinggalah tiba di rumah. Mungkin kerana penat inilah, aku cakap perkara yang bukan-bukan. Aku perlukan rehat.

 Ketika aku mencuci tangan, mataku menangkap kelibat Suhaimi disebelah. Lelaki itu meletakkan pinggannya secara berhati-hati ke dalam singki. Setelah selesai mencuci tangan dan mencuci pinggan sendiri, aku mengelap tangan dengan kain yang tergantung pada tingkap.

 "Apa yang jadi dalam mimpi itu?" Soalan Suhaimi menarik minatku. Aku memandang kearah Suhaimi yang baru meletakkan pinggannya yang bersih pada rak pinggan. "Kamu boleh keluar dari bilik itu?"

Aku menarik senyuman nipis. "Kau rasa apa yang jadi?"

 "Awak boleh keluar dari bilik itu?" Tebakkan suami membuatkan aku tergelak kecil. Kalau labah-labah itu benar-benar ada dalam dunia ini, kalau benar-benar aku berada dalam bilik itu, kalau benar-benar jalan keluar dari tempat yang menyesakkan itu adalah melalui celah-celah dinding yang hanya boleh memuatkan sinar cahaya yang sedikit, sememangnya aku tidak dapat keluar dari bilik itu hidup-hidup.

"Aku tak rasa aku boleh keluar dari situ."

 "Tapi sekarang, awak masih hidup lagi." Kata-kata Suhaimi menghairankanku. "Bernafas, makan dan bercakap dengan saya. Awak masih hidup." Aku hanya mampu bersetuju tanpa membuka mulut. Tak ada apa-apa nak disangkalkan oleh olehku. 

 Lagipun, itu cuma mimpi buruk saja. Tidak lama kemudian, satu perkara muncul dalam benak fikiranku. Aku mahu meminta maaf atas sikapku yang biadap kepada lelaki itu semasa kali pertama kami berjumpa di lapangan kapal terbang tersebut.

 Baru sahaja bibirku terkuak sedikit, seperti ada tetamu yang tidak diundang datang menyerang kepalaku. Penglihatanku seperti berpinar. Kepalaku pun macam berdenyut. Akumembatalkan niat. "Kepala aku sakitlah. Kita borak lain kali sajalah."

 Setelah memohon diri untuk tidur di bilik atas kepada ibu dan ayah yang masih makan, aku mula mendaki anak-anak tangga menuju ke bilik tidurku yang bersebelahan dengan bilik Zahirah. Aku terus menghempaskan diri keatas katil sehingga bunyi keriut kedengaran. Aku mencapai bantal peluk sambil menatap bingkai gambar yang terletak diatas laci drawer yang berada di tepi katil.

 Eh, ini macam gambar keluarga ketika hari raya? Gambar yang satu lagi adalah gambar aku dan para pelajar yang lain ketika hari graduasi di maktab perguruan dahulu.

 Aku mengamati satu per satu pelajar dalam gambar hari graduasi itu. Bermula dari pelajar lelaki pada sebelah kanan adalah ketua kelas, Amri. Tiga budak nakal yang selalu tak siapkan assignment, Fikri, Haikal dan Syuk. 

 Pelajar yang selalu bersaing nak dapat markah tinggi, Amin dan Inara. Kawan dua orang yang asyik berkepit di mana-mana itu ialah Syakeela dan Nurin. Tujuh pelajar yang berada di hujung gambar itu ialah budak-budak diva yang selalu buat aku meluat, terutama sekali Linda.

 Entah bagaimana denyutan pada kepala hilang pula membuatkan aku berminat untuk menyelak dua buah album yang berada di rak bukunya. Aku mengambil album tersebut. Gambarku di sekolah rendah dan sekolah menengah seperti memutarkan semula memori yang lama. 

 Walaupun begitu, terdapat seorang budak lelaki yang tidak diketahui siapa dalam beberapa kepingan gambar yang diambil. Ketika sedang bermandi-manda di sungai, semasa hari raya, dan ketika di sekolah bersama rakan-rakan yang lain. Aku mengamati wajah budak itu tetapi aku sudah terlupa. Mungkin kerana faktor usia agaknya. Almaklumlah, sudah 31 tahun.

 Aku mencapai pula album kedua. Diselak dengan berhati-hati. Memoriku mengenai gambar-gambar yang diambil menjadi jelas dalam ingatanku. Agaknya kerana album kedua ini adalah yang lebih terkini, menyebabkan otakku masih boleh mengingati apa yang berlaku sebelum ini. Baru sahaja aku mahu menyelak muka yang seterusnya, aku mendengar bunyi ketukan di luar pintu.

 "Eh, ingatkan sudah tidur." Tegur Zahirah sambil masuk ke dalam bilik. Pintu itu kemudian ditutup rapat.

 "Kenapa datang sini?" Soalanku dibalas dengan cebikkan daripada Zahirah. "Saja, nak borak dengan akak. Akak tengah buat apa itu?"

 "Tengok gambar lama. Manalah tahu akak tak ingat siapa-siapa yang akak pernah kenal sebelum ini." Jawapan mudah daripadaku dipersetujui oleh adik.

"Jadi, akak ingat tak semua orang ini?"

"Ingat."

 "Kalau mak cik ini?" Zahirah menduga. Telunjuknya diletakkan pada seorang wanita berbaju kurung warna biru dalam sesuatu majlis. Nampak seperti majlis akikah kerana terdapat gambar bayi yang sedang dipotong rambutnya oleh seseorang yang memakai kopiah.

 "Mak cik Ros. Dia itu suka sangat dengan bunga ros. Memang padanlah dengan namanya itu." Jawabku dengan menyentuh dagu pada hujung ibu jari.

 "Tepat sekali. Okey, kalau dalam gambar ini, siapa?" Tanya Zahirah lagi sambil menunjukkan gambar mereka berdua bersama sepasang pengantin sejoli yang bagaikan pinang dibelah dua.

 "Oh, ini majlis kahwin Rafiq dengan Maya. Baru habis belajar U saja, sudah kahwin. Dia dulu kahwin sebelum akak." Jawapanku dianggukkan oleh Zahirah. Adik menyelak lagi muka surat yang lain. Jarinya ditunjukkan kearah gambar pengantin yang lain.

"Kalau yang ini, siapa?"

Aku mengerut dahi. "Akaklah."

"Dengan siapa?"

 Aku menggaru tepi dahi yang tidak gatal. "Dengan Suhaimi." Zahirah mengiyakan lagi jawapan yang diberikan. "Tapi peliklah. Kenapa akak tak kenal dia? Nampak macam akak dengan dia rapat sangat sebelum ini."

Zahirah menahan ketawa. "Memanglah. Akak sudah kenal dia sejak akak kecil lagi."

"Iya?"

 Zahirah mengangkat bahu. "Waktu akak jumpa dia masa kecil-kecil itu, saya tak ada lagi tapi sejak akak masuk maktab perguruan, akak tak habis-habis cerita tentang jejaka misteri yang telah berjaya menambat hati akak.

 Ibu kata, lelaki itu adalah kawan sepermainan akak dekat Kampung Gelama Merah. Dululah. Mungkin akak ada terjumpa dia dekat mana entah agaknya. Sesuatu berlaku disebalik tabir yang saya sendiri pun tak mahu masuk campur dan tiga tahun sebelum ini, akak pun berkahwin dengan orang yang akak cintai. Happily Ever After. The End."

"Itu saja?" Tanyaku tidak berpuas hati. Sekali lagi, Zahirah mengangkat bahunya. "Hm, entah-entah akak ada masalah amnesia, agaknya."

 "Check dekat hospitallah esok." Ujar Zahirah lalu bingkas bangun dari bucu katil. "Saya nak siapkan assignment saya. Lagi tiga hari nak balik kampus. Akak rehat saja dulu. Bagi otak tenang sekejap, okay?" Aku hanya mampu menggangguk. Zahirah tersenyum sebelum menutup rapat pintu.



Comments